Wanita sanggup keluar ikut jendela, elak dicekup

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cuba meloloskan diri daripada ditahan pihak berkuasa, tiga wanita warga asing sanggup keluar melalui jendela di tingkat dua Platinum Walk, Setapak sebelum seorang daripada mereka terjatuh ke bawah lalu melarikan diri.

Pengarah Jabatan Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Azman Mahmood berkata, dua lagi wanita itu berjaya ditahan selepas tindakan pantas pihaknya.

“Dalam operasi bersepadu Banteras Aktiviti Haram (BAH) siri 2.0 bermula 1 tengah hari itu, 56 tangkapan dilakukan, terdiri daripada warga Thailand, Vietnam, Indonesia dan Myanmar, termasuk tiga penjaga premis.

“Selain itu, kita berjaya melumpuhkan operasi lapan pusat urut yang menawarkan khidmat seks di Platinum Walk, Setapak, tengah hari tadi kerana mendapati premis berkenaan tidak memiliki lesen dan menawarkan khidmat tidak bermoral terbabit dengan pakej RM180.

“Premis-premis ini beroperasi sejak 2017 lagi dan diserbu beberapa kali, namun masih berdegil dengan menjalankan perniagaan tanpa lesen,” katanya kepada pemberita selepas Ops Bah 2.0 melibatkan lapan premis hari ini.

Azman berkata, pihaknya melumpuhkan sepenuhnya operasi premis-premis terbabit dengan memotong bekalan air mereka oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan enam daripada premis-premis itu telah disita dan diberi notis penutupan.

Operasi bersepadu itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO).

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew, yang pejabatnya di bangunan itu berkata, pihaknya tidak pernah menerima aduan berkaitan aktiviti maksiat di sekitar kawasan terbabit.

Artikel Berkaitan:

“Saya kecewa DBKL tidak dapat menahan pemilik premis terbabit atau sindiket yang terlibat kerana bimbang masalah ini akan berulang, jika mereka tidak dapat dikesan,” katanya. - Bernama