X

Kindly register in order to view this article
!

Dominasi parti politik utama Malaysia

UMNO ialah parti yang menenangi kerusi Parlimen paling banyak pada PRU-14 lepas tetapi jumlahnya berkurang selepas insiden lompat parti.
A
A

[INFOGRAFIK] Kekuatan sesebuah parti politik biasanya dilihat berdasarkan kepada berapa ramai ahli dan penyokongnya.

Namun, kelebihan tersebut bukanlah jaminan kepada sesebuah parti untuk membentuk kerajaan.

Sebaliknya, kekuatan sesebuah parti itu disukat berdasarkan kepada penerimaan rakyat menerusi undi yang diterjemahkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) untuk kekal berkuasa dan seterusnya menubuhkan kerajaan yang stabil.

Bagaimanapun, jumlah ahli dimiliki oleh sesebuah parti boleh dijadikan sebagai ukuran untuk menilai besar mana parti itu.

Di Malaysia, UMNO merupakan parti terbesar kerana memiliki jumlah ahli paling ramai berbanding parti politik utama lain.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, UMNO mencatatkan jumlah keahlian seramai 3,359,368 orang di 21,883 cawangan di seluruh negara sehingga 26 Mac 2021.

Sementara MCA jatuh sebagai parti kedua yang memiliki jumlah ahli teramai iaitu 1.1 juta orang, diikuti oleh PKR dengan jumlah ahli seramai 1 juta orang.

Pas yang kini berusia lebih 60 tahun mencatat keahlian aktif seramai 806,000 orang setakat ini.

Setiausaha Agong Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, keahlian parti itu sebelum ini mencecah lebih satu juta, namun terdapat kira-kira 200,000 ahli yang tidak aktif.

Bersatu yang didaftarkan pada 14 Januari 2017 mencatat jumlah ahli seramai 500,000 orang pada 2020 manakala MIC mencatatkan jumlah ahli seramai 450,000 orang.

Amanah yang ditubuhkan oleh Mohamad Sabu pula mencatatkan bilangan ahli seramai 200,000 orang manakala Warisan yang bertapak di Sabah juga mencatat jumlah ahli yang sama jumlahnya setakat 2019.

Parti berbilang kaum DAP yang bernaung di bawah gabungan Pakatan Harapan (PH) bersama PKR dan Amanah memiliki seramai 172,673 setakat 2019.

Di Sarawak, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang diterajui oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mencatatkan kehalian seramai 300,000 orang.

Kekuatan sebenar parti politik di Malaysia pada dasarnya dinilai mengikut jumlah kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi.

Ketika ini, DAP ialah parti yang memiliki paling banyak kerusi di Parlimen iaitu 42 daripada 222 yang dipertandingkan.

Ia diikuti oleh UMNO sebanyak 39 kerusi, PKR (38), Bersatu (31), Pas (18), PBB (13), Amanah (11) dan Warisan (8).

MCA dan MIC yang berada di bawah gabungan Barisan Nasional (BN) bersama UMNO, masing-masing memiliki dua dan satu kerusi Parlimen.

Pada awalnya, UMNO ialah parti yang menenangi kerusi Parlimen paling banyak pada PRU-14 lepas iaitu sebanyak 54 kerusi.

Bagaimanpun, apabila Pakatan Harapan (PH) tumbang selepas 22 bulan memerintah, jumlah kerusi Parlimen dimenangi UMNO berkurang susulan insiden lompat parti ketika Perikatan Nasional (PN) mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Bagi DUN pula, UMNO merupakan parti yang baling banyak memiliki kerusi setakat ini.

Daripada 607 kerusi yang dipertandingkan, parti itu berjaya memenangi 143 pada PRU-14, sekali gus menerajui pentadbiran lima negeri iaitu Johor, Pahang, Melaka, Perak dan Perlis di bawah gabungan PN bersama Bersatu dan Pas.

Pas yang berjaya memenangi 91 kerusi kini mentandbir tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu di bawah gabungan PN.

PKR yang bergabung di bawah PH bersama Amanah dan DAP menerajui pentadbiran Selangor dan Negeri Sembilan selepas memenangi 61 kerusi manakala DAP yang memenangi 102 kerusi pula menerajui pentadbiran Pulau Pinang.

Bersatu yang memenangi 54 kerusi menerajui pentabbiran Sabah di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

PBB yang meraih 47 kerusi menerajui pentadbiran Sarawak bersama Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokrasi Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di bawah Gabungan Parti Sarawak (GRS).


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!