FAM masih berahsia spekulasi Dion Cools

Dion Cools dikatakan bakal menyertai skuad Harimau Malaya dalam masa terdekat.
Dion Cools dikatakan bakal menyertai skuad Harimau Malaya dalam masa terdekat.
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil pendekatan ‘kunci mulut’ berhubung spekulasi pemain berdarah campuran Belgium-Malaysia, Dion Cools yang dikatakan bakal menyarung jersi Harimau Malaya dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, beliau tidak boleh memberikan sebarang kenyataan berhubung status Cools yang dikhabarkan sudah mendapat ‘lampu hijau’ daripada kelabnya, FC Midtylland.

“Mengenai Dion, maaf saya tidak boleh memberikan sebarang kenyataan rasmi buat masa ini,” katanya kepada Sukan Sinar melalui aplikasi WhatsApp pada Khamis.

Nama Cools kembali meniti di bibir peminat dan penyokong bola sepak negara selepas pemain kelahiran Sarawak berusia 24 tahun itu mendapat pelepasan FC Midtylland bagi memperkasa Harimau Malaya pada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan depan.

Ia selepas laman sesawang rasmi FC Midtylland mennyiarkan kenyataan media bahawa Cools menjadi salah seorang daripada 16 pemain daripada kelab itu yang dipanggil bagi mewakili pasukan negara masing-masing dalam perlawanan antarabangsa.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut telah dipadam beberapa jam selepas ia dimuat naik oleh kelab tersebut, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi tentang status Cools.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John berkata, mana-mana pasukan masih boleh menyenaraikan pemain baharu sebelum kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bermula.

"Boleh tambah pemain tetapi kita kena periksa dahulu sama ada dia sudah berada dalam senarai besar pasukan atau tidak. Mengenai DIon Cools, kami belum terima apa-apa makluman daripada FAM lagi," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Cheng Hoe hanya membawa 25 pemain ke Dubai untuk menghadapi aksi kelayakan tersebut selain dua aksi pemanas badan berdepan Kuwait dan Bahrain.

Jika benar Cools berada dalam senarai terbaharu Harimau Malaya, ia bakal memberi impak positif kepada barisan pertahanan terutamanya di bahagian kanan yang kini dibarisi Matthiew Davies, Rizal Ghazali dan Syahmi Safari.