Beberapa projek PR1MA terpaksa dihentikan

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin (kiri) merasmikan FundMyHome-Skim Depositku hari ini. - Foto Bernama
A
A

SEMENYIH - Beberapa projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA ) terpaksa dihentikan pembinaannya berikutan kerajaan perlu menelitinya semula termasuk dari aspek kewangan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, terdapat beberapa perkara perlu diperkemaskan dalam projek tersebut.

Menurutnya, ia bagi memastikan pembangunan PR1MA selepas ini mengikuti keperluan ditetapkan.

"Projek PR1MA yang dalam pembangunan kita teruskan dan yang belum buat kita hentikan. Ada juga projek yang kita lihat mungkin tidak berbaloi diteruskan seperti baru 10 peratus (pembinaan).

"Jadi kita sedang buat 'due diligence' (usaha wajar), kita tengah selaraskan semua dan kita akan buat satu keputusan untuk menentukan keutamaan-keutamaan tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Skim FundMyHome-Depositku di sini, hari ini.

Tambah beliau, keputusan penuh projek PR1MA yang perlu diteruskan atau dihentikan akan diketahui apabila laporan 'due diligence' tersebut siap sepenuhnya dijangka pada Jun depan.

"Tak banyak projek yang dihentikan, saya tiada jumlahya sekarang. Pihak PR1MA kini sedang 'due diligence' oleh PricewaterhouseCoopers (PWC) sampai mereka dah habis buat baru saya dapatkan laporan penuh.

"Saya tak boleh cakap tepat, saya tunggu laporan itu siap yang dijangka pada bulan Jun yang kemudiannya dibentangkan kepada Kabinet.

“Selepas itu barulah buat keputusan-keputusan seterusnya," katanya.