Tiada perbuatan tidak bermoral di PKRC Kelantan

Dr Mohd Azman
Dr Mohd Azman
A
A
A

KOTA BHARU - Pengarah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Kelantan, Dr Mohd Azman Yacob menafikan dakwaan yang mengatakan berlaku perbuatan tidak bermoral di pusat berkenaan sebagaimana dilaporkan oleh sebuah portal berita pada Rabu.

Menurut beliau, pihaknya menafikan perkara itu berlaku di PKRC kerana pusat berkenaan hanya menempatkan satu jantina sahaja.

"Di PKRC Dewan Jubli Perak, hanya lelaki sahaja. Di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), perempuan semua, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), lelaki semua.

"Saya sekeras-kerasnya menafikan persetubuhan luar nikah yang dilaporkan oleh portal berkenaan dan mereka pun telah memohon maaf yang mengatakan ia tersalah lapor," katanya kepada pemberita di sini ketika ditemui semasa melakukan tinjauan di PKRC Dewan Jubli Perak di sini.

Sebelum itu, beliau diminta mengulas mengenai laporan sebuah portal pada Rabu menyiarkan mengenai wujudnya perbuatan vandalisme serta masalah sosial termasuk penghuni melakukan persetubuhan luar nikah di PKRC Kelantan.

Selain itu, laporan tersebut turut menyebut terdapat juga kes penghuni melarikan diri sebelum tamat tempoh kuarantin.

Mengulas lanjut, Azman berkata, kemungkinan pihak yang berkenaan keliru di antara PKRC dan stesen kuarantin sehingga berlakunya kesilapan salah lapor.

Malah katanya, masyarakat tidak perlu risau dan takut untuk mendapatkan rawatan di PKRC kerana semuanya dikawal dengan rapi.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang kita tengah berperang dengan Covid-19, kita tengah memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa sekiranya mereka didapati positif pandemik berkenaan, mereka akan dimasukkan ke PKRC.

"Ia telah menyebabkan kegusaran kepada masyarakat. Saya juga menerima nasihat supaya membuat laporan polis tetapi pihak berkenaan telah menyiarkan permohonan maaf secara digital selepas empat hingga lima jam selepas berita itu diviralkan di seluruh negara.

"Penulis mungkin gagal memahami ataupun keliru perbezaan PKRC dan stesen kuarantin sehingga menyebabkan laporan yang dikeluarkan memetik nama PKRC dan ia tidak berlaku di PKRC negeri Kelantan," katanya.