X

Kindly register in order to view this article
!

Video tular Kak Siti: Imigresen lapor SPRM

Khairul Dzaimee
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan tular sebuah video di media sosial bertajuk 'Kak Siti kena bayar ‘pelincir’ untuk masuk ke Malaysia'.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, laporan itu dibuat oleh Timbalan Ketua Pengarah (Kawalan) Imigresen, Datuk Makhzan Mahyuddin jam 2.30 petang pada Khamis di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Menurutnya, dalam video tersebut memaparkan seorang wanita memberi ucapan berkaitan status keberadaan dan pergerakan keluar masuk negara seorang wanita warga Indonesia yang dikenali sebagai ‘Kak Siti’.

"Dakwanya Kak Siti mempunyai pas kerja yang sah dan telah melahirkan tiga orang anak di Malaysia. Wanita terbabit telah pergi ke Batam, Indonesia bersama-sama Kak Siti dipercayai cuba membantu Kak Siti untuk masuk semula ke Malaysia.

Imigresen membuat laporan kepada SPRM susulan dakwaan seorang wanita mengatakan warga Indonesia dikenali Kak Siti membayar sejumlah wang kepada pegawai imigresen untuk masuk Malaysia.
Imigresen membuat laporan kepada SPRM susulan dakwaan seorang wanita mengatakan warga Indonesia dikenali Kak Siti membayar sejumlah wang kepada pegawai imigresen untuk masuk Malaysia.

"Turut dibangkitkan dalam ucapan itu tentang dakwaan bahawa Kak Siti perlu membayar sejumlah wang kepada individu yang didakwa sebagai pegawai imigresen bagi membantu kemasukannya ke negara ini," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, kenyataan dan dakwaan dalam video itu boleh menjejaskan imej dan nama baik Imigresen.

Sehubungan itu, pihaknya telah membuat laporan kepada SPRM supaya satu siasatan yang telus dapat dijalankan.

"Jika terbukti dakwaan di dalam video tersebut adalah benar, maka tindakan yang tegas tanpa kompromi akan diambil jika terdapat pegawai jabatan ini yang melakukan kesalahan.

"Tetapi jika didapati dakwaan di dalam video tersebut tidak benar, tindakan undang-undang yang sewajarnya boleh diambil terhadap wanita yang memberi ucapan di dalam video tersebut," katanya.

Tegasnya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan kakitangan yang menyalahgunakan kuasa bagi tujuan kepentingan peribadi selain tidak akan membiarkan mana-mana pihak sewenang-wenangnya cuba membuat kenyataan atau dakwaan yang tidak benar serta boleh menjejaskan nama baik Imigresen.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!