Pentingnya pengurusan fasiliti hospital

Gambar hiasan. - Foto FB Dr Noor Hisham Abdullah
Gambar hiasan. - Foto FB Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PANDEMIK Covid-19 telah memberikan tekanan yang kuat pada sistem kesihatan nasional yang merangkumi fasiliti dan kemudahan di hospital serta kakitangan kesihatan profesional dan juga kakitangan sokongan.

Pertambahan varian baharu dari Afrika Selatan, United Kingdom dan India menjadikan angka kes baharu di Malaysia semakin meningkat lalu menjadikan jumlah kumulatif di negara ini mencecah lebih daripada setengah juta.

Di samping itu, tekanan ini dapat dirasakan oleh rakyat Malaysia apabila Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilihat sering berkongsi maklumat berkenaan keadaan hospital awam yang semakin kritikal menerusi laman Facebook rasmi beliau.

Ada yang membandingkan keadaan hospital di Malaysia pada masa kini hampir sama dengan keadaan di India. Kadar penggunaan katil ICU Covid-19 telah mencecah lebih 100 peratus di beberapa kawasan terutamanya di Lembah Klang.

Ini menyebabkan pihak hospital memutuskan untuk mengubah fungsi wad biasa atau lain-lain kawasan yang bersesuaian di hospital untuk dijadikan ICU sementara.

Begitu juga dengan fasiliti di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) terutamanya di Kelantan yang dikatakan semakin penuh iaitu kapasiti mencecah 90 sehingga 97 peratus.

Perkara ini amat membimbangkan dan dikhuatiri sistem kesihatan Malaysia akan semakin lumpuh dengan pertambahan kes baharu setiap hari.

Perkhidmatan sokongan yang efisyen terhadap sistem kesihatan ini adalah sangat penting kerana sistem ini bergerak 24 jam setiap hari dan tidak boleh ada ruang untuk berlakunya gangguan terhadap fasiliti dan peralatan perubatan yang boleh memudaratkan pesakit-pesakit ini.

Artikel Berkaitan:

Pengurus fasiliti sangat diperlukan bagi menyokong perkhidmatan kesihatan dan mencari solusi yang terbaik untuk mengoptimumkan strategi dalam melawan virus Covid-19.

Tunggak utama

Pengurusan fasiliti berfungsi bagi menyokong dan memberi nilai tambah kepada perniagaan teras sesuatu bangunan termasuk bangunan penjagaan kesihatan (healthcare building) seperti hospital.

Antara tanggungjawab kontraktor pengurusan fasiliti bagi bangunan hospital adalah menyediakan perkhidmatan pembersihan; perkhidmatan linen dan dobi; perkhidmatan penyelenggaraan kejuruteraan fasiliti; perkhidmatan kejuruteraan bioperubatan dan pengurusan sisa klinikal.

Dalam masa sama, pengurus fasiliti hendaklah memastikan keadaan persekitaran kesihatan adalah kondusif bagi kakitangan hospital, pesakit dan juga pelawat.

Ini kerana persekitaran yang dibina mempengaruhi kualiti penjagaan yang diberikan, kepuasan pesakit dan pada satu tahap ia juga boleh mempengaruhi masa pemulihan.

Ini menunjukkan, tunggak utama pengurusan fasiliti bukan sahaja memfokuskan kepada penyelenggaran aset dan peralatan fizikal semata-mata tetapi ia merangkumi aspek-aspek lain.

Jika dilihat dengan lebih mendalam, tunggak utama pengurusan fasiliti terbahagi kepada 3P iaitu People (manusia), Place (tempat/fasiliti) dan Process (proses).

Peranan utama pengurus fasiliti di bangunan penjagaan kesihatan seperti hospital dan PKRC semasa tempoh pandemik kini lebih menjurus kepada aspek kebersihan dan keselamatan.

Pematuhan kepada garis panduan amalan pembersihan, penjagaan jarak sosial dan saringan di pintu utama bukanlah satu perkara yang baru bagi pengurus fasiliti kerana perkara ini telah dipraktiskan sejak awal wabak Covid-19 ini tersebar.

Antara perkara lain yang boleh ditekankan oleh pengurus fasiliti bangunan penjagaan kesihatan adalah dengan meningkatkan kualiti udara dalaman yang dikatakan dapat membantu proses penyembuhan dan pemulihan (healing and recovery) pesakit (tidak terhad kepada pesakit Covid-19 sahaja) dengan mengambil kira faktor-faktor seperti aktiviti pengurusan dan penyelenggaraan, sistem pengudaraan, sistem pemanasan, pengudaraan, dan penyaman udara (HVAC), aktiviti pembersihan dan pembasmian kuman, faktor reka bentuk seperti dimensi bilik/ruang, jenis perabot dan peralatan perubatan, aktiviti pengguna seperti jumlah kehadiran pengguna dalam sesuatu masa dan lain-lain.

Justeru, semasa tempoh pandemik ini, pengurus fasiliti disarankan untuk mengkaji dengan lebih teliti mengenai impak dalam mengenal pasti kawasan kritikal yang memerlukan sokongan seperti sistem HVAC, sistem kebakaran, keselamatan dan sistem automasi bangunan.

Sistem HVAC misalnya, mempunyai peranan besar terhadap kualiti udara dalaman sesebuah bangunan. Maka, impak penggunaan sistem HVAC perlu diambil kira dan dikaji keberkesanannya dalam mengawal penularan virus ini melalui udara.

Di samping itu, beberapa kawasan dalam bangunan hospital yang telah dan akan diubah fungsi (repurpose) perlulah mengambil kira aspek-aspek keselamatan sekiranya berlaku sebarang kecemasan lain.

Oleh itu, pengurus fasiliti hendaklah mengenal pasti susun atur yang terbaik bagi kawasan-kawasan yang memerlukan pengubahsuaian fungsi ini dan mengenal pasti risiko yang mungkin berlaku.

Kapasiti di PKRC juga hendaklah dipantau dari masa ke masa supaya tidak berlaku kesesakan.

Keperluan penambahan PKRC di sesuatu kawasan perlu dinilai oleh pihak pengurusan fasiliti itu sendiri. Setiap penelitian ini hendaklah disertakan dengan garis panduan, dipantau dan ditambahbaik dari masa ke masa.

Di kala doktor dan petugas kesihatan bertungkus-lumus dalam misi menguruskan dan menyelamatkan nyawa pesakit Covid-19, ‘doktor’ fasiliti hendaklah memastikan bangunan, fasiliti dan kelengkapan alatan perubatan diuruskan, diselenggara dan dijaga pada tahap yang optimum untuk memastikan kelancaran operasi bangunan penjagaan kesihatan.

* Dr Nurul Nadiah Zainol ialah Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Dr Hariati Abdullah Hashim ialah Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM)