VCendol inovasi baharu cendol dalam tin

Minuman Vcendol telah divariasikan kepada tiga perisa iaitu pandan, mangga dan strawberi yang dijual pada harga RM6.50 sebotol.
Minuman Vcendol telah divariasikan kepada tiga perisa iaitu pandan, mangga dan strawberi yang dijual pada harga RM6.50 sebotol.
A
A
A

KOTA BHARU - Sebelum ini peminat minuman cendol hanya boleh mendapatkan minuman penyejuk tekak itu di tepi jalan, namun kali ini ia telah dikomersialkan menjadi minuman tin sebagaimana minuman segar yang lain.

Pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan, Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Tuan Muhammad Muiz Tuan Nordin berkata, beliau mendapat idea untuk mengkomersialkan cendol di dalam tin minuman selepas melihat belum ada mana-mana syarikat yang menjual cendol yang dibotolkan dalam pasaran.

"Hasilnya dengan idea dan kreativiti itu, kini VCendol sudah terjual sebanyak 1,000 botol sebulan. Bahkan menerima tempahan berkali ganda pada bulan Ramadan lalu.

"Adalah penting bagi seseorang usahawan memperbaiki kaedah pemasaran masing-masing dan hasilnya saya dapat mengetengahkan hasil produk baharu yang menggunakan elemen berdasarkan kepada inovasi dan penyelidikan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurutnya, idea untuk menghasilkan VCendol itu dilhamkan beliau yang mengagumi produk Housboom iaitu sejenis produk minuman 'sparkling juice' oleh usahawan tempatan yang kini dipasarkan secara meluas di seluruh Malaysia.

Beliau berkata, dia juga bercadang untuk pasarkan VCendol secara meluas dan dikomersialkan untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Proses R&D dilakukan bagi memastikan minuman VCendol tahan lama.
Proses R&D dilakukan bagi memastikan minuman VCendol tahan lama.

“Namun, konsep dan idea pada awalnya tidak semudah yang dirancangkan kerana kaedah penyediaan agak rumit dan kurang sesuai untuk dinikmati secara konsep 'on the go' atau 'ready to drink'.

Artikel Berkaitan:

"Tambahan pula, minuman cendol memang diketahui mempunyai tempoh yang singkat dan tidak boleh bertahan dalam tempoh lama untuk penyimpanan stok.

"Selepas melakukan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D), saya menemui formula baharu untuk menghasilkan cendol segar yang tahan lebih lama tanpa menjejaskan rasa aslinya dan sedia diminum dalam tin.

“Untuk proses menghasilkan cendol yang berkualiti dan tahan lama adalah dengan menggunakan santan sawit yang berkualiti tinggi, kaya vitamin, kurang kolesterol, kurang lemak dan lebih tahan lama berbanding santan kelapa biasa," katanya.

Walaupun baru setahun dalam pasaran, anak muda ini terus menginovasikan cara pembungkusan VCendol dari botol plastik biasa ke tin plastik lut cahaya yang lebih bermutu tinggi, menjadikan ia minuman yang sedia diminum, dibotolkan menggunakan teknologi 'hot filling' yang terjamin bersih dan tahan lama tanpa bahan pengawet.

Kini, minuman Vcendol telah divariasikan kepada tiga perisa iaitu pandan, mangga dan strawberi yang dijual pada harga RM6.50 sebotol.

Tuan Muhammad Muiz berkata, usaha dan sokongan untuk menghasilkan produk tersebut adalah dengan bantuan keluarganya dan mentor pembimbingnya iaitu Pensyarah FKP, Dr Shamsuriana Sidek.

Pihak UMK melalui Pusat Pembangunan Dan Pendidikan Keusahawanan (CEED) Institut Keusahawanan (UMKEI) juga banyak membantu khususnya tentang ilmu keusahawanan dan kemahiran menerusi penganjuran pelbagai kursus disamping menyediakan pelbagai insentif kepada usahawan pelajar.

Untuk pemasaran pada musim PKP ini, beliau lebih banyak menggunakan platform pemasaran secara dalam talian di media sosial seperti Facebook dan juga Shopee.

Produk VCendol juga diedarkan secara 'offline' oleh ejen-ejen di seluruh Malaysia, mini market dan pasar raya di Terengganu serta koperasi sekolah terpilih.

Produk VCendol telah berjaya memenangi beberapa anugerah termasuklah Pingat Emas pada 11th Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREx 2021) anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP) di bawah kategori inovasi produk Premium Cendol in The Bottle.

Sebelum ini, produk VCendol juga telah memenangi Pingat Emas dalam eCarnival Research & Innovation (eCRI 2020) anjuran Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Pingat Perak bagi Pertandingan Rekacipta (PEREKA 2020) anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS).