Koperal dituduh terima rasuah

Tertuduh (tengah) diiringi pegawai SPRM ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Selasa atas dua pertuduhan menerima rasuah tiga tahun lalu.
Tertuduh (tengah) diiringi pegawai SPRM ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Selasa atas dua pertuduhan menerima rasuah tiga tahun lalu.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang anggota polis berpangkat koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Selasa atas dua pertuduhan menerima rasuah tiga tahun lalu.

Tertuduh, Shamsudin Abd Aziz, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Madihah Harullah selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Balai Polis Tanjung Ipoh, Kuala Pilah telah memperoleh wang suapan RM1,000 daripada seorang lelaki melalui pindahan ke dalam akaun banknya sebagai dorongan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya kerana mengambil tiga pekerja warga Bangladesh yang tidak mempunyai permit kerja yang sah.

Perbuatan itu dilakukan pada 24 Ogos 2018, jam lebih kurang 4.58 petang di Maybank di Bahau, Jempol.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan, penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, mengikut nilai mana paling tinggi.

Bagi pertuduhan pilihan, tertuduh telah menerima RM1,000 tanpa balasan daripada lelaki sama melalui pindahan ke dalam akaun banknya pada waktu dan lokasi sama.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes 12 Julai ini.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali dan tertuduh diwakili peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat.