KDN arah agensinya tingkatkan operasi pematuhan SOP

KDN mengarahkan semua agensinya meningkatkan dan memperketatkan operasi penguatkuasaan pematuhan SOP PKP. - Foto Bernama
KDN mengarahkan semua agensinya meningkatkan dan memperketatkan operasi penguatkuasaan pematuhan SOP PKP. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan semua agensinya meningkatkan dan memperketatkan operasi penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

KDN dalam satu kenyataan berkata, selain daripada menambahkan bilangan kekuatan anggota serta operasi sekatan jalan raya (SJR), pemantauan juga akan dijalankan di seluruh negara.

"Pemantauan pematuhan SOP akan dilakukan di premis perniagaan dan industri, bangunan pejabat dan kawasan kediaman serta terminal dan stesen pengangkutan awam seperti KTM Komuter, LRT, MRT, ERL, KL Monorail ataupun melalui perkhidmatan e-hailing," kata kenyataan itu di sini pada Isnin.

Kementerian itu berkata, antara agensi yang terlibat adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Penjara, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Agensi Antidadah Kebangsaan dan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem).

"Kementerian menyeru semua pihak agar terus mematuhi SOP yang telah diputuskan oleh Sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan memberikan kerjasama terhadap segala usaha dan langkah yang diambil kerajaan bagi melindungi nyawa rakyat daripada ancaman pandemik Covid-19," kata KDN.

Tambah KDN, sejak PKP dilaksanakan seramai 100,980 orang anggota dari pelbagai Jabatan dan agensi KDN telah terlibat dalam penugasan Covid-19.

Artikel Berkaitan: