13,036 individu terima bantuan khas Covid-19: Nadma

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma)
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma)
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 13,036 individu yang hilang pendapatan kerana menjalani kuarantin Covid-19 telah menerima Bantuan Khas Covid-19 sebanyak RM100 sehari, membabitkan peruntukan RM17.693 juta, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Jumlah itu adalah daripada 27,919 permohonan yang diterima Nadma sehingga Isnin bagi Bantuan Khas RM100 sehari sehingga maksimum 14 hari tersebut.

Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri itu memaklumkan, bantuan khas itu khusus bagi warganegara Malaysia yang bekerja tetapi kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi kontak Covid-19 di bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Bantuan itu turut diberikan kepada warganegara Malaysia yang bekerja tetapi telah kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh menjalani rawatan di wad hospital ekoran Covid-19.

“Permohonan yang ditolak adalah disebabkan tidak memenuhi syarat dan tidak menyertakan dokumen yang lengkap,” menurut Nadma dalam satu kenyataan pada Isnin.

Selain itu, Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 bagi kes kematian melibatkan warganegara Malaysia dengan kadar maksimum sehingga RM5,000 turut diberikan.

Sehingga Isnin, seramai 407 waris telah menerima bantuan khas tersebut yang melibatkan peruntukan berjumlah RM2.035 juta.

"Bantuan ini diberikan kepada waris selepas Nadma menerima dan memproses permohonan dan mendapat pengesahan data kematian daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC)," kata Nadma.

Artikel Berkaitan:

Tabung Covid-19 dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 Mac 2020 sebagai usaha kerajaan membantu rakyat yang terjejas ekoran wabak itu dan dikendalikan oleh Nadma. - Bernama