Kakitangan KADA maut kemalangan

Situasi kemalangan maut yang meragut nyawa seorang kakitangan KADA di jalan Kemubu-Kota Bharu berhampiran Kampung Chekok, Kota Bharu.
Situasi kemalangan maut yang meragut nyawa seorang kakitangan KADA di jalan Kemubu-Kota Bharu berhampiran Kampung Chekok, Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang kakitangan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Wira di jalan Kemubu-Kota Bharu berhampiran Kampung Chekok, di sini pada Isnin.

Dalam kejadian jam 7.50 pagi itu, Mohd Fathil Mohamad, 47, maut akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Wira yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 47 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Kampung Gondang, Pulai Chondong ke Kampung Serendah, Kedai Piah di sini.

“Setiba di lokasi kejadian, pemandu kereta Proton Wira mendakwa telah terlihat kelibat sebuah kenderaan yang tiba-tiba keluar dari sebuah lorong," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.

Menurutnya, insiden itu menyebabkan kereta yang dipandu oleh lelaki tersebut cuba mengelak dan masuk ke lorong bertentangan sebelum hilang kawalan sehingga bertembung motosikal mangsa.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan mangsa terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Abdul Rahim berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan," katanya.