Jakim kumpul maklumat syarikat Atomy

Jakim
Jakim
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengadakan beberapa perbincangan dan mengambil tindakan bagi mengumpul maklumat berkaitan syarikat Atomy Sdn Bhd yang didakwa sebagai gerakan kristianisasi.

Jakim dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya memaklumkan, Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) Kali Ke-118 yang bersidang pada 16 dan 17 Februari lalu telah membincangkan kertas 'Pandangan Hukum Berkenaan Perniagaan Yang Menyumbang Kepada Gerakan Anti Islam'.

"Muzakarah telah membuat ketetapan bahawa kajian lanjut perlu dilaksanakan kerana ianya melibatkan banyak pihak," kata kenyataan itu pada Isnin.

Menurut kenyataan itu, sebarang bentuk kenyataan yang dibuat mengenai pihak lain perlu melalui beberapa peringkat penyelidikan dan kajian mendalam serta bukti yang kukuh.

"Jakim sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti pakar dalam bidang muamalat, akidah dan agensi-agensi berkaitan seperti Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia bagi melaksanakan kajian yang berkaitan," kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, semua pihak dinasihatkan agar mendapatkan maklumat yang tepat daripada pihak berkuasa sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam.

Sebelum ini, seorang guru, Mohd Fadli Salleh mendesak Jakim dan mufti mengeluarkan kenyataan jelas mengenai syarikat yang berpangkalan di Korea.

Dakwanya, akibat ketiadaan kenyataan jelas daripada pihak berkuasa menyebabkan pendakwah terkenal, Firdaus Wong Wai Hung disaman syarikat berkenaan.

Artikel Berkaitan: