JAKIM sedia bantu KKM perluas khidmat kesihatan

JAKIM
JAKIM
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersedia menjadi pemudah cara kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memperluaskan program perkhidmatan kesihatan kepada sekolah agama berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dalam kenyataan hari ini berkata program itu akan memberi manfaat kepada 83,252 murid di 92 buah Sekolah Agama Negeri dan 135 Sekolah Agama Rakyat di seluruh negara.

Mohamad Nordin berkata KKM membentangkan cadangan pelaksanaan program itu pada Persidangan Ketua-Ketua Jabatan/ Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia (PKJ) kali ke-108 yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, semalam.

Mereka bakal menerima perkhidmatan pendidikan kesihatan, imunisasi, pemeriksaan kesihatan, rawatan dan rujukan sekiranya diperlukan mengikut tahap umur persekolahan seperti yang diterima murid di sekolah yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan, katanya.

"Ini adalah suatu perkhidmatan yang cukup berharga bagi murid-murid sekolah agama," kata Mohamad Nordin.

Mohamad Nordin berkata antara objektif program itu adalah untuk memastikan sekolah yang berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri diklasifikasikan sebagai sekolah berjadual bagi membolehkan sekolah tersebut mendapat perkhidmatan kesihatan sekolah tanpa dikenakan caj fi.

Pada masa ini, katanya Jakim dimaklumkan belum ada lagi badan khusus yang menyelaras dan mengurus penyampaian perkhidmatan kesihatan untuk murid di sekolah agama dan ia menimbulkan kesukaran kepada KKM untuk mengenal pasti sekolah agama yang berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, Mohamad Nordin berkata sebuah Jawatankuasa Bersama Kesihatan di peringkat kebangsaan dan negeri perlu ditubuhkan bagi membincangkan dengan teliti peranan pelbagai pihak yang terlibat. - Bernama

Artikel Berkaitan: