Siak rebah dalam klinik dipercayai dijangkiti Covid-19

Petugas KKM yang lengkap dengan pakaian perlindungan diri mengangkat mayat mangsa yang rebah di sebuah klinik untuk dibawa ke Hospital Pulau Pinang pada Sabtu.
Petugas KKM yang lengkap dengan pakaian perlindungan diri mengangkat mayat mangsa yang rebah di sebuah klinik untuk dibawa ke Hospital Pulau Pinang pada Sabtu.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Seorang siak masjid meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan Covid-19 di sebuah klinik di sini pada malam Sabtu.

Difahamkan warga emas berusia 67 tahun yang bertugas di sebuah masjid di sini rebah ketika hendak mendapatkan rawatan di klinik berkenaan kerana demam.

Akibat kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan sepasukan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang lengkap dengan pakaian perlindungan bergegas ke klinik berkenaan untuk membawa jenazahnya ke Hospital Pulau Pinang.

Susulan kejadian itu, pengurusan Masjid Al-Hidayah dalam satu kenyataan memaklumkan masjid berkenaan akan ditutup bermula 23 Mei sehingga tempoh yang akan diberitahu kelak.

Pihak pengurusan masjid juga menasihatkan ahli kariah yang mempunyai kontak rapat dengan Allahyarham supaya bersedia untuk melakukan ujian calitan Covid-19.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian.

Jelasnya, ujian swab kedua akan dijalankan bagi mengesahkan sama ada mangsa dijangkiti Covid-19 atau tidak.

"Seperti yang disarankan pihak pengurusan masjid, kita berharap jemaah yang lain terutamanya yang ada kontak rapat dengan siak masjid berkenaan untuk membuat ujian saringan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Justeru saya ingin mengingatkan semua masyarakat agar sentiasa patuh dan ikut pada SOP yang telah ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19," katanya.