PKP sahaja tidak cukup: Faiz Fadzil

Faiz Fadzil
Faiz Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil menyifatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sahaja tidak mencukupi jika tiada langkah komprehensif diambil kerajaan bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 di negara ini.

"Walaupun tidak berlaku 'total lockdown', namun ekonomi rakyat terutama dalam sektor perusahaan kecil sederhana (PKS) dan peniaga kecil ini pasti terjejas dengan penutupan awal perniagaan yang dijalankan oleh mereka.

"Justeru, perlu ada satu lagi pakej rangsangan ekonomi bagi membantu golongan PKS, peniaga kecil dan golongan bersasar lain seperti miskin bandar, belia mengganggur, ibu tunggal serta golongan terlibat dengan sektor informal lain," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan juga perlu segerakan vaksinasi terutama kepada golongan mudah terdedah kepada jangkitan terutama golongan dalam sektor ekonomi seperti industri kilang dan lain-lain yang berisiko tinggi.

Katanya, prosedur operasi standard (SOP) mereka yang dikuarantin juga perlu diperketatkan kerana ada kes-kes jangkitan yang berlaku ketika kuarantin di mana jangkitan pula dibawa kepada ahli keluarga.

"Kerajaan juga perlu menambah peruntukan supaya ada dana khas kepada golongan terbabit khususnya untuk yang dikuarantin ini supaya lekuk jangkitan benar-benar dapat dibendung dan dihapuskan," katanya.

Dalam pada itu, Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir berkata, rakyat dan pemimpin perlu berganding bahu untuk mengatasi penularan pandemik berkenaan.

"Tiada lagi kluster kayangan dan layanan 'double standard' dalam penguatkuasaan SOP.

Artikel Berkaitan:

"Penjagaan kendiri juga perlu dipertingkatkan dan ini adalah tanggungjawab ke atas diri sendiri supaya kita semua dapat hidup dalam keadaan sihat, selain ekonomi dapat bergerak seperti biasa," katanya.