Ahli perniagaan rugi RM40,000 ditipu

No Image Caption
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang ahli perniagaan kerugian RM40,000 selepas diperdaya sindiket penyamaran melalui panggilan telefon.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa yang berusia 55 tahun menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang mendakwa sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Beliau berkata, mangsa dimaklumkan mempunyai tunggakan cukai syarikat sebelum disambungkan kepada individu lain yang mendakwa pula sebagai pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

"Suspek kemudian memaklumkan mangsa terlibat dengan beberapa kes jenayah seperti kes dadah, ah long dan scammer," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Menurut Noorzainy, mangsa panik dan bersetuju memindahkan wangnya ke akaun yang diberikan lelaki terbabit supaya namanya dapat dibersihkan daripada rekod polis.

"Mangsa memindahkan wang berjumlah RM40,000 ke dalam dua akaun bank yang diberikan oleh suspek. Dia menyedari ditipu selepas memberitahu hal ini kepada anak lelakinya dan terus membuat laporan polis," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai berwaspada dan tidak mudah percaya dengan sebarang panggilan.

"Kerajaan dan polis tidak pernah berurusan dengan orang awam melalui telefon dan meminta maklumat perbankan. Jadi orang ramai perlu berhati-hati apabila menerima panggilan," katanya.

Artikel Berkaitan: