Sembilan individu dikompaun ingkar SOP di PD

Superintendan Aidi Sham Mohamed
Superintendan Aidi Sham Mohamed
A
A
A

PORT DICKSON - Sembilan individu dikenakan kompaun selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kompaun tersebut dikeluarkan pasukan Task Force SOP PKP dari Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di sekitar Teluk Kemang dan Lukut.

Menurut beliau, kesemua kompaun tersebut dikenakan atas kesalahan tidak memakai pelitup muka, merentas daerah tanpa surat kebenaran dan tiada penjarakan sosial.

"Sebanyak lima kompaun dikeluarkan atas kesalahan tidak memakai pelitup muka, dua lagi kesalahan merentas daerah tanpa surat kebenaran dan selebihnya dikenakan kompaun kerana tidak mengamalkan penjarakan sosial iaitu melepak tanpa alasan munasabah.

"Secara kumulatif seramai 22 individu telah dikompaun atas kesalahan melanggar SOP PKP 3.0," katanya dalam satu kenyataan di sini Ahad.

Aidi Sham berkata, kompaun sebanyak RM1,500 boleh dikenakan untuk kesalahan tidak memakai pelitup muka, manakala RM 5,000 dikenakan bagi kesalahan rentas tanpa surat kebenaran.

“Polis sentiasa memandang serius terhadap sebarang pelanggaran SOP PKP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Orang ramai dinasihatkan agar terus mematuhi SOP MKN sepanjang tempoh PKP sehingga 7 Jun ini,” katanya.

Artikel Berkaitan: