Boleh tutup ekonomi tetapi segerakan aspek kesihatan

Gambar kecil: Madeline
Gambar kecil: Madeline
A
A
A

SHAH ALAM - Pendekatan serampang dua mata perlu dilaksanakan bukan sahaja tutup ekonomi tetapi percepatkan aspek kesihatan.

Pakar Ekonomi Profesor Kehormat Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Profesor Madya Dr Madeline Berma berkata, kerajaan perlu mengutamakan kesihatan dan keselamatan rakyat sebelum melindungi ekonomi negara.

Menurut beliau, apabila aspek kesihatan tidak diuruskan dengan baik maka sektor ekonomi negara akan hancur disebabkan peningkatan jumlah jangkitan kes Covid-19.

“Kerajaan perlu mempercepatkan program vaksinasi kepada seluruh masyarakat kerana kita boleh lihat kerajaan sangat perlahan dalam menguruskan vaksin ini.

“Jadi apabila kerajaan perlahan, maka sektor ekonomi akan merudum,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Dalam pada itu, Madeline berkata, majikan perlu melaksanakan ujian saringan Covid-19 secara percuma kepada pekerja sebelum berlakunya jangkitan varian baharu yang sedang meningkat dalam negara.

“Ini kerana kita mahu kenal pasti siapa yang dijangkiti tanpa mempunyai simptom yang boleh menjangkiti pekerja-pekerja lain tanpa sedar.

“Ini adalah tanggungjawab syarikat atau majikan untuk melakukan ujian saringan kepada semua pekerja dengan menyediakannya secara percuma,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada 21 Mei lalu, hasil konsultasi Sinar Harian dan beberapa wartawan veteran yang prihatin dengan pakar-pakar perubatan dan sains negara telah mengemukakan lapan saranan untuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi melawan Covid-19.

Pelan tindakan segera seperti disyorkan pakar-pakar itu merangkumi perkukuhkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berdasarkan bukti sedia ada, ujian saringan berskala besar secara percuma dan pengurusan komuniti Covid-19 menggunakan alat digital dengan kerjasama hospital swasta.

Antara lain, optimumkan penggunaan pusat berisiko rendah, perluaskan penggunaan katil dengan menyatukan sektor awam, GLC dan swasta serta pertingkatkan vaksinasi dengan cepat selain memperkasakan komunikasi risiko.

Pelan sosioekonomi perlu sebagai jalan keluar yang lancar dan selamat kerana pelaksanaan PKP tidak akan mengakhiri pandemik tanpa perancangan jangka panjang.