'Masa untuk saya buktikan'

Safawi (depan) giat menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di UAE. - Foto FB FAM
Safawi (depan) giat menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di UAE. - Foto FB FAM
A
A
A

KEKURANGAN minit bermain susulan kecederaan lutut yang dialami tidak meresahkan pemain sayap sensasi negara, Safawi Rasid untuk memberikan sentuhan cemerlang dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurut Safawi, dia bertekad membuktikan sentuhannya masih berbisa selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut, sekali gus membantu Harimau Malaya meraih keputusan positif dalam aksi kelayakan tersebut.

"Mengenai prestasi saya tiada masalah. Lagipun bermain dalam pasukan kebangsaan bukan permainan individu. Sokongan daripada rakan sepasukan membantu saya kembali dapatkan prestasi terbaik.

"Bukan saya seorang tetapi juga pemain lain yang lama tak main, sekurangnya dengan bantuan rakan sepasukan dapat meningkatkan prestasi masing-masing.

"Sekarang ini saya pun dah pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut, jadi kejohanan ini saya nak membuktikan saya layak untuk membantu pasukan mara ke peringkat seterusnya," katanya pada sidang media secara maya pada Sabtu.

Prestasi pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu sebelum ini dilihat sedikit merudum selepas pulang daripada menyertai kelab Portugal, Portimonense SC secara pinjaman pada Disember lalu.

Kelibatnya di kelab Portugal itu juga kurang memberikan impak selepas tidak disenaraikan untuk beraksi dalam skuad utama selain hanya mampu bertahan selama tiga bulan bersama pasukan tersebut.

Selepas kembali bersama JDT, Safawi dibayangi kecederaan lutut pada Mac lalu dan hanya beraksi sebagai pemain gantian dalam beberapa perlawanan terakhir Liga Super sebelum dipanggil untuk menyertai kem latihan Harimau Malaya.

Artikel Berkaitan:

Ia sekali gus mengundang kebimbangan dalam kalangan peminat bola sepak negara sama ada pemain utama Harimau Malaya itu akan mampu berada pada tahap terbaik dalam perlawanan kelayakan ini.

Dalam pada itu, Safawi turut mengakui tempatnya dalam pasukan Harimau Malaya tidak terjamin selepas melihat saingan sengit di posisi tersebut daripada beberapa pemain seperti Mohamadou Sumareh, Akhyar Rashid dan pemain muda meningkat naik, Arif Aiman Mohd Hanafi.

"Bagi saya tempat itu jurulatih yang akan tentukan. Macam saya bermain sebelah kanan, saya rasa bagus untuk kami bersaing untuk dapatkan kesebelasanan utama.

"Saya seperti pemain lain kena bagi 'all out' sekiranya mahu terpilih dalam kesebelasan utama," katanya.

Untuk rekod, Safawi telah menjaringkan dua gol ketika menentang Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 19 November 2019 sebelum aksi kelayakan itu ditangguhkan ekoran pandemik Covid-19.

Safawi turut menyifatkan skuad Harimau Malaya kali ini adalah yang terbaik dengan kehadiran beberapa muka baharu seperti Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula dan Junior Eldstal.

"Bagi saya pasukan kali ini paling terbaik. Saya harap pemain yang datang ke sini (UAE) dapat berikan sesuatu kepada pasukan untuk bantu pasukan kita layak ke pusingan seterusnya.

"Malah, perlawanan persahabatan menentang Kuwait juga kalau boleh pemain perlu cepat serasi antara satu sama lain sebab ia penting untuk persediaan pasukan. Lagipun, tidak mudah sebab satu tahun lebih tidak ada perlawanan dan tidak bersama.

"Namun, apa yang positif ialah pemain sedia ada dalam pasukan dapat membantu pemain yang baru datang untuk membantu dapatkan keserasian dalam pasukan," ujarnya.