Undang-undang makanan haiwan halal perlu dibentuk

Mohamed menunjukkan papan tanda mengenai masalah halal dalam makanan haiwan dalam sidang media tadi.
Mohamed menunjukkan papan tanda mengenai masalah halal dalam makanan haiwan dalam sidang media tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Pusat supaya membentuk undang-undang bagi memastikan makanan haiwan yang dibekalkan adalah halal.

Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, kerajaan juga perlu meminda Akta Makanan Haiwan 2009 dengan memasukkan unsur halal dalam penyediaan, pemprosesan, pengeluaran dan penyelenggaraan makanan haiwan.

Menurutnya, di negara ini, penggunaan sisa haiwan dalam makanan haiwan telah menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan dan status halal daging daripada haiwan yang diberikan makanan.

"Penggunaan sisa haiwan dari rumah sembelihan sebagai bahan mentah dalam makanan haiwan sudah menjadi amalan biasa. Darah dan tulang telah lama digunakan sebagai sumber protein dalam makanan haiwan kerana ia berkhasiat, murah dan mesra alam.

"Malaysia meluluskan Akta Makanan Haiwan 2009 pada 2013 bagi mengawal industri terbabit. Akta ini bagi memantau kualiti makanan haiwan melalui kawalan mengimport, pengeluaran, penjualan serta penggunaan makanan haiwan dan bahan tambahan," katanya kepada media, hari ini.

Mohamed berkata, CAP meminta supaya ia dipinda dengan memasukkan unsur halal dalam semua peringkat penyediaan makanan haiwan.

"CAP juga menggesa pihak berkuasa meminda Manual Prosedur Pengesahan Halal supaya memasukkan makanan haiwan sebagai salah satu produk di bawah skim pengesahan sijil halal yang disahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

"Sejak beberapa tahun lalu, didapati banyak laporan media mengenai amalan memberi makanan haiwan yang boleh dipertikaikan antaranya ikan yang diternak diberi usus khinzir dan pengusaha ladang khinzir memelihara ikan keli untuk membersihkan air kumbahan dari ladang haiwan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kajian dari Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan dan Universiti Sains Malaysia juga mendapati, 40 peratus pengeluar makanan haiwan di negara ini menggunakan campuran bahan bersumber haiwan dalam makanan haiwan sehingga ia menimbulkan keraguan.

"Banyak kes dibuktikan sebelum ini apabila tengkorak dan tulang haiwan ditemui pada dasar kolam ikan. Dengan itu, pengguna Islam dinasihatkan agar tidak memakan daging sehingga undang-undang bagi memastikan makanan haiwan yang digunakan adalah halal," katanya.

Beliau turut menggesa pihak berkaitan mengeluarkan standard halal dalam penyediaan, pengeluaran, pelabelan, pengedaran dan penyelenggaraan bagi membolehkan pengeluar makanan haiwan menjamin produknya adalah halal.

"Walaupun terdapat peraturan khusus berhubung isu makanan haiwan, tiada satu pun peraturan yang mengetengahkan isu makanan haiwan yang halal. Halal dari segi ramuan; pemprosesan; pengeluaran, pengangkutan dan penyimpanan.

"Sistem perundangan dan peraturan semasa berhubung makanan haiwan di Malaysia tidak mempedulikan khususnya dalam isu halal. Sepatutnya, ia mesti dimasukkan keperluan halal bagi pengeluaran; mengimport; penghasilan, penjualan dan penggunaan makanan haiwan," katanya.