10 bulan tidur dalam stor

A
A
A

SHAH ALAM - Bergelar petugas barisan hadapan bukan satu tugas enteng apatah lagi ketika negara berdepan pandemik Covid-19 sejak lebih setahun lalu, namun pengalaman berharga yang ditempuhi pasti menjadi kenangan tidak ternilai.

Bagi Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) di Pejabat Kesihatan Lembah Pantai, Zaidi Yusof, pengalaman menyertai tugasan melibatkan beberapa kluster besar amat menguji kecekalan diri.

Bertitik tolak daripada Kluster Masjid Seri Petaling, kluster terbesar di Malaysia yang dikesan sekitar 11 Mac tahun lalu, Zaidi diberi amanah mengetuai pasukan yang bertanggungjawab menjalankan operasi disinfeksi dan pemindahan mereka yang terlibat dengan kluster terbabit ke pusat rawatan.

“Tugasan di Masjid Seri Petaling adalah kes pertama Covid-19 bagi saya dan sembilan lagi anggota perlu selesaikan.

“Kumpulan kami ditubuhkan dalam keadaan serta-merta dan dari segi pengalaman dan pengetahuan, kami memang tidak tahu apa-apa tentang Covid-19. Saya sebelum ini mengendalikan kes-kes kebersihan makanan di kantin sekolah, restoran dan gerai di sekitar ibu negara,” ujar Zaidi yang telah berkhidmat bersama KKM hampir 15 tahun.

Anggota bomba membantu Zaidi memakai PPE ketika bertugas di Masjid Seri Petaling tahun lalu.
Anggota bomba membantu Zaidi memakai PPE ketika bertugas di Masjid Seri Petaling tahun lalu.

Menurut Zaidi, 38, ilmu yang dipelajari di lapangan pada ketika itulah yang digunakan sebagai garis panduan untuk memastikan diri dan anggota lain terhindar daripada bahaya Covid-19.

“Pada awalnya, saya bertanya kepada anggota yang terpilih adakah mereka bersetuju menerima tugasan mendepani Covid-19, jika setuju mereka akan bersama saya dan jika tidak mereka akan meneruskan kerja hakiki masing-masing.

Artikel Berkaitan:

“Alhamdullilah, saya mendapat anggota yang sanggup bersama-sama menggalas tugas tersebut walaupun pada hakikatnya zero knowledge,” katanya lagi.

Anggota bomba membantu Zaidi memakai PPE ketika bertugas di Masjid Seri Petaling tahun lalu.
Anggota bomba membantu Zaidi memakai PPE ketika bertugas di Masjid Seri Petaling tahun lalu.

Tambah Zaidi, pasukannya banyak belajar daripada pasukan Hazmat Bomba Malaysia tentang cara-cara melakukan operasi disinfeksi di kawasan merah selain menjaga keselamatan diri sewaktu bertugas.

Katanya lagi, sepanjang menjalankan operasi pemindahan melibatkan 380 jemaah tabligh yang mengambil masa lama, tekanan dalam kalangan anggota pasukan semakin memuncak ditambah dengan keletihan yang mula menguasai diri.

Zaidi menceritakan, insiden di mana seorang jemaah tua yang meninggal dunia sehari selepas dipapah olehnya menaiki bas pemindahan telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan anggota.

“Mereka berasa takut kerana saya merupakan individu yang secara langsung membantu jemaah terbabit. Mereka bimbang sekiranya akan dijangkiti dan apa akan berlaku seterusnya,” ujarnya lagi.

Kawasan Pudu turut menjadi lokasi Zaidi dan pasukannya bertugas mendepani Covid-19.
Kawasan Pudu turut menjadi lokasi Zaidi dan pasukannya bertugas mendepani Covid-19.

Zaidi juga mengakui bukan mudah apabila terpaksa memakai pakaian PPE yang sama selama berjam-jam namun demi kehendak tugas semuanya harus dihadapi.

“Kami bertugas dari jam 9 pagi hingga 6 petang dalam PPE yang sama sedangkan jangka hayat memakai PPE hanyalah dua jam. Memang tidak malu untuk mengakui ada anggota yang terbuang air dalam PPE sewaktu bertugas,” katanya lagi.

Selain di Masjid Seri Petaling, Zaidi dan pasukannya turut berkesempatan bertugas di dua kawasan lockdown melibatkan Masjid India dan Pudu.

Menurut Zaidi lagi, sepanjang lebih kurang 10 bulan bermula bulan Mac hingga hujung Disember tahun lalu beliau dan sembilan anggotanya terpaksa tidur di sebuah stor kecil di pejabat disebabkan tuntutan tugas yang tidak mengira waktu.

Zaidi turut terlibat dalam tugasan di PPR Kampung Limau pada Khamis.
Zaidi turut terlibat dalam tugasan di PPR Kampung Limau pada Khamis.

“Di luar stor tersebut saya jadikan pantri dan sewaktu bulan puasa kami beli dapur dan kelengkapan berpuasa. Setiap hari saya dibantu anggota akan sediakan juadah berbuka dan bersahur, itu saja yang kami mampu pada ketika itu,” katanya lagi.

Namun kata Zaidi, cabaran paling menyeksakan sepanjang mendepani Covid-19 adalah menanggung kerinduan terhadap keluarga yang jauh di mata dan anggota yang merasai tekanan itu adakalanya akan lebih banyak menyendiri dan duduk termenung.