X

Kindly register in order to view this article
!

Penduduk sesak nafas, muntah, sakit kepala akibat pencemaran kimia

Pasukan Hezmat membuat pemeriksaan di sebuah kilang plastik yang telah menyebabkan pencemaran kimia. Gambar kecil dari kiri: Nazri, Zanifol Nizam
A
A

SEREMBAN - Lebih 50 penduduk di Taman Bandar Senawang mengalami sesak nafas, muntah dan sakit kepala serta ada yang terpaksa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Senawang dipercayai akibat pencemaran kimia dari sebuah kilang plastik di Kawasan Industri Senawang di sini pada Jumaat.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) D'Latania Taman Bandar Senawang, Zanifol Nizam Ahmat berkata, gejala berkenaan mula dialami penduduk sejak jam 11 pagi selepas terhidu bau yang kurang menyenangkan.

"Kawasan paling terjejas teruk adalah di kawasan D'Latania kerana paling berhampiran dengan kilang itu dan ada penduduk yang terpaksa dihantar ke klinik.

"Malah ada juga penduduk yang ambil keputusan keluar dari rumah, menginap di hotel kerana ada anak yang mempunyai masalah asma alami sesak nafas," katanya kepada Sinar Harian.

Sehubungan itu katanya, empat KRT di kawasan taman berkenaan yang terjejas telah membuat laporan polis terhadap kilang terbabit bagi menggesa tindakan undang-undang diambil.

Dalam pada itu, Setiausaha Masjid Kariah Bandar Senawang, Nazri Mad Nor berkata, bau bahan kimia itu sangat kuat sehingga membuatkan jemaah yang solat Jumaat di masjid itu tidak selesa.

Katanya, jika penduduk terdedah lebih lama dengan bau berkenaan ia boleh memberi kesan kepada kesihatan mereka.

"Bau itu sangat kuat sampai sakit dada dibuatnya. Ada yang batuk, sakit kepala dan pedih mata.

"Kami mula-mula pelik juga bau ini datang dari mana dan bila tinjauan dilakukan kami dapati ia dari sebuah kilang plastik. Aduan telah pun dibuat kepada pihak berwajib," katanya.

Penduduk di Taman Bandar Senawang Dlatenia antara paling ramai terkesan.
Penduduk di Taman Bandar Senawang Dlatenia antara paling ramai terkesan.

Ujarnya, setiap KRT telah diminta mengumpulkan senarai nama penduduk yang terjejas.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan mengesahkan pencemaran kimia berkenaan yang dipercayai berlaku disebabkan kerosakan pada tangki simpanan bersaiz 25 ribu liter yang mengandungi bahan kimia methyl mathacrylate di dalam kilang terbabit.

"Kejadian berlaku semasa kerja pengisian 'filling' ke dalam tangki dan bahan tumpahan dianggarkan sebanyak 500 milimeter.

"Bahan kimia berkenaan telah mengalir masuk ke longkang kilang seterusnya mengalir ke longkang awam sejauh tiga kilometer sehingga ke Masjid Bandar Senawang," katanya pada sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di lokasi terbabit.

Beliau berkata, buangan tumpahan yang terdapat di dalam longkang yang berwarna putih dan berbuih itu pula merupakan sabun dari cucian kilang terbabit.

Jelas beliau, pihak kilang telah mengambil langkah menutup suis utama tangki simpanan namun 'valve' paip tangki rosak menyebabkan bahan kimia terus mengalir keluar.

"Pihak Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dalam tindakan siasatan terhadap kapasiti sebenar bahan tumpahan.

"Untuk siasatan lanjut kita tunggu laporan dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) sama ada kompaun akan dikeluarkan atau tindakan lain," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!