'Senarai kedai buku sebahagian perkhidmatan perlu'

Kerajaan diminta menyenaraikan kedai buku sebagai perkhidmatan perlu bagi membolehkan ia beroperasi sepanjang tempoh PKP. Gambar kecil: Mutalib
Kerajaan diminta menyenaraikan kedai buku sebagai perkhidmatan perlu bagi membolehkan ia beroperasi sepanjang tempoh PKP. Gambar kecil: Mutalib
A
A
A

SHAH ALAM – Perbadanan Kota Buku menggesa kerajaan supaya kedai buku dibenarkan untuk beroperasi dengan menyenaraikannya sebagai sebahagian daripada perkhidmatan perlu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mutalib Uthman berkata, pada masa ini kedai buku tidak termasuk dalam senarai perkhidmatan perlu dan tidak semua orang mempunyai kemudahan untuk membeli barangan secara dalam talian.

“Pelajar sekolah, universiti dan kakitangan dalam sektor pendidikan terpaksa melakukan aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang tempoh PKP.

“Aktiviti PdPR ini bukan melibatkan aktiviti pembelajaran dalam talian semata-mata. Buku rujukan tambahan, pelbagai peralatan seperti kertas, pen, dakwat pencetak dan sebagainya juga diperlukan,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Pada 12 Januari lalu, kerajaan menyenaraikan 37 perkhidmatan perlu daripada lima sektor penting yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP.

Senarai tersebut dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) meliputi syarikat yang terlibat dalam sektor pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran serta perladangan dan komoditi di bawah bidang kuasa kementerian dan agensi lain.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Md Jidin pada 21 Mei lalu berkata, sesi pembelajaran selepas cuti Hari Raya Aidilfitri akan diteruskan dengan PdPR selama dua mnggu bagi menggantikan sesi bersemuka di sekolah.

Sesi pembelajaran itu bermula 16 hingga 27 Mei bagi sekolah kumpulan A (sekolah-sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan 17 hingga 28 Mei bagi sekolah kumpulan B (sekolah-sekolah di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mutalib menambah, langkah penyenaraian tersebut dapat membantu pelajar dan pendidik dalam melaksanakan PdPR selain menggerakkan ekonomi dalam industri buku.