Kelantan berjaya kumpul RM3.6 juta untuk Palestin

Ahmad (tengah) menunjukkan replika cek yang diterima untuk sumbangan tersebut.
Ahmad (tengah) menunjukkan replika cek yang diterima untuk sumbangan tersebut.
A
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak RM3.651 juta berjaya dikumpul kerajaan Kelantan untuk Tabung Kemanusiaan Palestin bagi menyatakan solidariti kepada negara berkenaan melalui kempen #Aid4Palestin.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob berkata, sumbangan tersebut akan disalurkan kepada kerajaan Malaysia melalui duta khas Perdana Menteri ke Timur Tengah.

Menurutnya, sumbangan fasa pertama tersebut diterima melalui tiga saluran utama sejak 13 Mei sehingga Khamis.

"Tabung Amanah Kebajikan Darul Naim (Tabung Serambi Mekah) berjaya mengumpul lebih RM1 juta manakala sumbangan daripada badan bukan kerajaan (NGO) pula sebanyak RM545,000.

"Selain itu kami menerima sumbangan lebih RM2.1 juta daripada Badan Perhubungan Pas Kelantan. Ini satu pencapaian membanggakan.

"Walaupun kerisauan akibat penularan Covid-19, tapi rakyat Kelantan masih bersolidariti untuk saudara Islam kita di sana," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengerusi Program #Aid4Palestine Peringkat Negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat dan Setiausaha Pas Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Ahmad berkata, sumbangan-sumbangan tersebut khasnya melalui Tabung Serambi Mekah adalah daripada kurniaan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, Exco-exco kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan seluruh rakyat Kelantan.

Artikel Berkaitan:

"Ia termasuk penglibatan anak-anak perantauan dan masyarakat pelbagai kaum yang bersolidariti untuk Palestin kali ini.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penderma di atas solidariti dan sokongan diberikan," katanya.

Sumbangan fasa kedua akan bermula pada 21 Mei hingga 11 Jun ini dan orang ramai masih boleh menderma seperti fasa pertama.