X

Kindly register in order to view this article
!

Langgar SOP, polis panggil Exco Selangor

Tular gambar exco tersebut mengadakan majlis sambutan hari raya di rumahnya
A
A

SHAH ALAM - Polis akan memanggil seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana mengadakan majlis sambutan hari raya di rumahnya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya juga akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan berkaitan kes itu.

"Kita telah membuka kertas siasatan pada petang semalam (Khamis), hari ini adalah proses seterusnya.

"Kesemua individu yang ada dalam gambar tular itu akan dipanggil untuk dirakam keterangan," katanya pada sidang akhbar melalui Google Meet pada Jumaat.

Arjunaidi memaklumkan kes itu disiasat mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 [P.U.(A) 225/2021].

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, perkara itu dikesan pihaknya kira-kira jam 5.45 petang Khamis selepas tular di Twitter.

Gambar yang dimuat naik @SuzieMusa itu mendakwa terdapat seorang Yang Berhormat (YB) bertaraf Exco di Selangor dalam satu majlis sambutan hari raya di rumahnya di Tanjung Sepat, Kuala Langat.

"Susulan itu, satu laporan telah dibuat dan siasatan telah dijalankan," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!