PKPD: Penduduk Besut diminta jangan panik

Hanafiah Mat
Hanafiah Mat
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Penduduk di daerah Besut diminta bertenang dan tidak melakukan pembelian panik susulan pengumuman kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan itu bermula Sabtu.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat berkata, penduduk tidak perlu khuatir dengan pelaksanaan itu kerana kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menghulurkan bantuan.

“Saya nasihatkan penduduk Besut tidak panik kerana difahamkan orang ramai berpusu-pusu ke pasar dan pasar raya untuk beli barang berikutan bimbang tidak boleh keluar rumah esok. Jangan bimbang, kerajaan akan beri bantuan.

“Sekarang sudah ada beberapa kawasan dikenakan PKPD di Besut dan JKM telah hantar barang mentah dan kering seperti ayam, daging, beras, minyak, gula dan telur kepada penduduk.

“Jika berlaku penambahan kawasan PKPD susulan pengumuman kerajaan semalam, kita sudah bersedia beri bantuan sewajarnya,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Jumaat.

Menurut Hanafiah, pihaknya kini menunggu prosedur operasi standard (SOP) PKPD di Besut yang akan disahkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam mesyuarat agensi itu hari ini sebelum memutuskan bentuk bantuan.

Beliau berkata, agihan bantuan kepada penduduk terlibat akan segera digerakkan selepas SOP bagi PKPD di Besut dikeluarkan MKN.

“Dari segi keupayaan pula, JKM akan menggunakan khidmat sukarelawan seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Unit Amal, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dibantu Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK),” katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Beberapa kawasan di enam negeri dikenakan PKPD

Media pada Khamis melaporkan PKPD akan dilaksanakan di 15 mukim di Besut selama 14 hari bermula 22 Mei sehingga 4 Jun ini.

Mukim terbabit ialah Kampung Raja, Keluang, Lubuk Kawah, Bukit Kenak, Pelagat, Jabi, Tembila, Kerandang, Bukit Puteri, Pengkalan Nangka, Kuala Besut, Pasir Akar, Kubang Bemban, Tenang dan Hulu Besut.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di 15 mukim di Terengganu susulan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sembilan daripada 17 kluster aktif di negeri itu membabitkan daerah berkenaan yang menyumbang peningkatan kes Covid-19 dengan kadar kebolehjangkitan tinggi dalam komuniti.