Lelaki ditahan alih penghadang konkrit PKPD

Penghadang konkrit di Jalan Bukit Tinggi-Bukit Pinang, Alor Setar dialih individu tersebut pada awal pagi Khamis.
Penghadang konkrit di Jalan Bukit Tinggi-Bukit Pinang, Alor Setar dialih individu tersebut pada awal pagi Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang lelaki ditahan polis kerana mengalihkan penghadang konkrit di tempat penutupan jalan di Jalan Bukit Tinggi - Bukit Pinang, dekat sini dengan menggunakan sebuah jengkaut berat pada pagi Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, penghadang konkrit tersebut diletakkan bagi menghalang pergerakan kenderaan keluar dan masuk dalam tempoh PKPD di kawasan daerah Kota Setar bermula 19 Mei hingga 1 Jun depan.

Menurutnya, lelaki berusia 40 tahun itu mengaku melakukan perbuatan tersebut semasa mahu merentas daerah ke Jitra untuk melakukan kerja-kerja pembinaan di sana

"Kita berjaya menahannya di sebuah rumah pada jam lebih kurang 2 petang di Jalan Pinang Jaya, Kepala batas, Alor Setar. Jengkaut berat yang digunakan juga turut dirampas untuk tujuan siasatan.

"Tangkapan mengaku melakukan perbuatan ini setelah mendapati jalan ditutup bagi tujuan pergi ke tempat kerja pembinaan," katanya pada sidang akhbar di Sekatan Jalan Raya (SJR) Kepala Batas, Alor Setar pada Khamis.

Tambahnya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan ujian air kencing juga didapati negatif dadah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 270 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan jahat yang mungkin merebakkan penyakit jangkitan apa-apa penyakit berbahaya pada nyawa dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 2 tahun, denda atau kedua-duanya.

Tambahnya, kes itu juga turut disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat harta benda menyebabkan kerugian ataupun kehilangan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang daripada 1 tahun dan tidak lebih daripada 5 tahun, denda atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

"Kepada penduduk daerah Kota Setar dan juga daerah berhampiran sila patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerana kes Covid-19 semakin membimbangkan," ujarnya.