Pemilik hotel degil dikompaun kali kedua

Anggota polis memeriksa buku pendaftaran penginap di hotel berkenaan selepas tetap berdegil meneruskan operasi setelah dikenakan kompaun pada malam Rabu.
Anggota polis memeriksa buku pendaftaran penginap di hotel berkenaan selepas tetap berdegil meneruskan operasi setelah dikenakan kompaun pada malam Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Sebuah hotel bajet di sini sekali lagi mengulangi kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dalam tempoh kurang 24 jam selepas pemilik hotel berkenaan dikenakan kompaun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, pemilik hotel berusia 60-an itu masih berdegil dan meneruskan operasi hotel berkenaan biarpun dikenakan kompaun RM10,000 pada malam Rabu.

Menurut beliau, pada pemeriksaan pagi Khamis, pihaknya mendapati hotel berkenaan masih menerima pengunjung menyebabkan pekerja hotel tersebut dikenakan kompaun.

"Ini kali kedua hotel tersebut dikenakan kompaun sebab berdegil meneruskan operasi.

"Kompaun dikenakan kepada pekerja atas kesalahan sama iaitu hotel beroperasi ketika PKPD," katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

Mohd Redzuan berkata, kali ini tindakan dikenakan terhadap pekerja hotel memandangkan pemilik hotel itu tidak berada di premis ketika pemeriksaan dilakukan.

"Semalam kita keluarkan kompaun RM10,000 kepada pemilik, pagi ini kita kenakan kompaun kepada pekerja pula sebanyak RM2,000," katanya.

Pada malam Rabu, hotel berkenaan telah dikenakan kompaun RM10,000 kerana melanggar SOP PKPD Kota Setar dengan beroperasi dalam tempoh PKPD susulan ia bukan perkhidmatan perlu.

Artikel Berkaitan:

Pemeriksaan lanjut juga mendapati terdapat seorang wanita warganegara Thailand berusia 30-an menginap di hotel berkenaan dan memiliki dokumen perjalanan tamat tempoh.

Dalam operasi sama, pihaknya turut mengeluarkan kompaun terhadap seorang lelaki dan wanita yang berada dalam sebuah kenderaan di hadapan hotel tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata, pada hari pertama PKPD dilaksanakan di Kota Setar, sebanyak sembilan kompaun telah dikeluarkan melibatkan pelbagai ketidakpatuhan SOP PKPD, kebanyakannya atas kesalahan berkumpul di kediaman.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemilik hotel bajet dikompaun RM10,000 langgar SOP PKPD