'Saya sudah tutup buku'

Zainal Abidin Hassan - Foto Bernama
Zainal Abidin Hassan - Foto Bernama
A
A
A

JURULATIH Melaka United, Zainal Abidin Hassan tidak berminat memanaskan lagi kontroversi yang tercetus dengan rakan baiknya, Dollah Salleh.

Sebaliknya, beliau mahu menumpukan sepenuh perhatian mempersiapkan pasukannya menjelang pertemuan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), di Larkin, Sabtu ini.

“Dollah sudah buat kenyataan... cukuplah, saya tidak berminat memberi ulasan. Saya sudah 'tutup buku' isu itu kerana tugas yang menanti saya Sabtu ini lebih penting untuk difikirkan.

“Selepas Pahang, kami kini perlu berdepan satu lagi cabaran hebat apabila bertemu JDT. Semua orang tahu bukan mudah menentang pasukan itu, apatah lagi bermain di tempat mereka.

“Saya kini sedang memerah otak untuk merangka satu strategi yang benar-benar berkesan supaya kami tidak pulang dengan tangan kosong dari Johor Bahru.

“Pada masa sama, saya berharap kecederaan menimpa Liridon (Krasniqi), Darko (Marcovic) Wan Amirul Afiq (Wan Rahman) dan Khuzaimi (Piee) sempat pulih menjelang perlawanan dengan JDT.

“Selepas tiga perlawanan, saya melihat ada peningkatan, namun masih memerlukan sedikit masa lagi untuk pemain saling mengenali corak permainan rakan sepasukan serta membina persefahaman dan keserasian,” katanya.

Insiden selepas perlawanan Melaka-Pahang di Stadium Hang Jebat, Sabtu lalu yang berkesudahan seri 1-1 menjadi perhatian netizen apabila rakaman video yang tular memaparkan Dollah mengeluarkan kata-kata kurang sopan kepada seseorang.

Artikel Berkaitan:

Ia menjadi lebih panas apabila Dollah membuat kenyataan bahawa kata-kata berkenaan sebenarnya bukan ditujukan kepada pengadil, sebaliknya Zainal ekoran rasa tidak puas hatinya terhadap pengendali Melaka United itu yang memarahi seorang pegawai Pahang.

Umum mengetahui, kedua-dua pengendali itu bukan sahaja merupakan gandingan serasi ketika mereka bergelar pemain, malah merupakan sahabat karib sehingga sekarang, sekali gus menyebabkan ramai terkejut dengan tindakan Dollah ke atas Zainal.

Namun, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam berpendapat Dollah mengeluarkan kenyataan itu secara tidak sengaja kerana terlalu kecewa selepas Pahang dinafikan tiga mata apabila kapten Melaka United, Safiq Rahim menyempurnakan sepakan penalti pada penghujung perlawanan.

Justeru, MFL sendiri tidak akan mengambil sebarang tindakan ke atas Dollah tetapi sekadar memberi peringatan kepada jurulatih Pahang itu.