22 pasukan berentap pada Tour de Iskandar

No Image Caption
A
A
A

SEBANYAK 22 pasukan termasuk 14 pasukan benua mengesahkan penyertaan pada edisi sulung Kejohanan Berbasikal Tour de Iskandar di Johor dari 17 hingga 21 April depan

Pengerusi Sovereign International Ventures Sdn Bhd, Jaffar Hashim berkata, kejohanan berstatus 2.2 Jelajah Asia itu yang mendapat pengiktirafan Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu turut menarik penyertaan beberapa kelab berbasikal tempatan dan pasukan kebangsaan termasuk Malaysia.

Katanya, kejohanan berkenaan yang menawarkan wang tunai hampir RM100,000 itu bakal mempertandingkan empat jersi iaitu jersi biru (juara keseluruhan), jersi putih (raja pecut), jersi merah (raja bukit) dan jersi hitam (pelumba muda terbaik).

"Kos penganjuran berjumlah RM2.5 juta adalah untuk pelbagai perbelanjaan dan kos berkenaan adalah berbaloi dengan penyertaan 22 pasukan, dan hadiah kemenangan akan diserahkan pada 15 Mac iaitu sebulan sebelum kejohanan berkenaan kepada PKBM (Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan penajaan beberapa syarikat untuk kejohanan berkenaan yang turut disaksikan Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab, di Petaling Jaya semalam

Bertemakan 'Reaching Excellent', Tour de Iskandar akan bermula dari Iskandar Puteri - Batu Pahat sejauh 134.2 kilometer, Muar - Yong Peng (172.4 kilometer), Kluang - Mersing (109 kilometer), Mersing - Bandar Penawar (141 kilometer) sebelum peringkat terakhir dari Bandar Penawar ke Johor Bahru sejauh 136.4 kilometer.

Pasukan yang mengambil bahagian adalah Go 4 Gold Philippines dan 7Eleven Cliqq-Air21 Roadbike Philippines (Filipina), Customs Cycling Indonesia dan Banyuwangi Road Cycling Community (Indonesia), St George Continental Cycling Team dan Mitchelton-BikeExchange (Australia), TSG Cycling Team, Team Sapura Cycling, JDT Cycling Team, Pasukan Berbasikal Negeri Selangor, PDRM-G Cycling Team dan Pasukan Kebangsaan Malaysia (Malaysia)

Pasukan Kebangsaan Sri Lanka, X Speed United (Hong Kong), KSPO Bianchi Asia Pro Cycling Team (Korea Selatan), Nex Cycling Team (Singapura), Kinan Cycling Team dan Team UKYO (Jepun), TaiYuan Miogee Cycling Team dan HengXiang Cycling Team (China), Roojai Cycling Team (Thailand), Brunei Continental Cycling Team (Brunei). - Bernama

Artikel Berkaitan: