22 pasukan berentap di Kejohanan Ragbi Kluang 10's 2023

Norsyah (empat dari kanan) pada sidang media di Kluang. - Foto Kelab Ragbi Kluang
Norsyah (empat dari kanan) pada sidang media di Kluang. - Foto Kelab Ragbi Kluang
A
A
A

SEBANYAK 22 pasukan dari seluruh negara bakal berentap pada Kejohanan Ragbi Kluang 10 sebelah (10’s) di Stadium Kluang, yang dijadualkan membuka tirai saingan pada 19 hingga 20 Ogos ini.

Menurut Presiden Kelab Ragbi Kluang, Norsyah Nizam A Aziz, kejohanan anjuran bersama dengan Pejabat Daerah Kluang itu turut menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM6,000 kepada pemenang.

“Secara keseluruhannya, objektif utama kejohanan ini adalah bagi membangunkan serta meningkatkan pembangunan sukan ragbi di daerah Kluang dan juga negeri Johor.

“Selain itu ia juga diharap dapat membantu menaikkan nama daerah Kluang di peringkat kebangsaan,” katanya pada sidang media pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Penolong Pegawai Daerah Kluang, Mohd Faiz Mohd Salleh bagi mewakili Pegawai Daerah Kluang, Mohd Rafi Abdullah.

Kejohanan Ragbi Kluang 10’s kali ini bakal menghimpunkan 500 pemain dan pegawai daripada 22 pasukan.

Kejohanan kali ini menggunakan format dua pusingan bagi peringkat kumpulan dan pusingan kalah mati pada peringkat suku akhir dan separuh akhir membabitkan dua kategori iaitu Lelaki Terbuka yang menampilkan 16 pasukan dan Wanita Terbuka (enam pasukan).

Untuk rekod, Kelab Ragbi Kluang ditubuhkan bagi membantu pembangunan sukan ragbi di daerah berkenaan yang didaftarkan secara rasmi di bawah Pesuruhjaya Sukan Malaysia, pada 30 Ogos 2012.

Artikel Berkaitan: