Penunggang motosikal bawa bendera Palestin ditahan

Video tular di laman sosial memaparkan sekumpulan penunggang motosikal berarak sambil membawa bendera Palestin di Jalan Telok Mas, Melaka pada malam Rabu.
Gambar kecil: Afzanizar Ahmad
Video tular di laman sosial memaparkan sekumpulan penunggang motosikal berarak sambil membawa bendera Palestin di Jalan Telok Mas, Melaka pada malam Rabu. Gambar kecil: Afzanizar Ahmad
A
A
A

MELAKA - Polis menahan sekumpulan 11 individu kerana menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya dengan membawa bendera Palestin, di sini pada malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kesemua berusia 17 hingga 30 tahun itu ditahan di Balai Polis Kandang di sini berikutan penularan sebuah video di Facebook mendapati kumpulan terbabit berarak di Jalan Telok Mas.

Beliau berkata, perbuatan kumpulan tersebut bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah pengguna jalan raya lain.

"Polis menjalankan siasatan selepas mendapati video berdurasi 23 saat dan 30 saat telah dimuat naik ke laman sosial Facebook dan berjaya menahan 11 daripada mereka.

"Kumpulan itu dipanggil polis untuk memberi keterangan. Daripada 11 orang yang ditahan, tiga dibebaskan dengan jaminan polis. Lapan daripada mereka direman selama dua hari bermula Rabu bagi membantu siasatan," katanya di sini pada Khamis.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang atau memandu kenderaan dalam keadaan melulu dan merbahaya serta

di bawah Peraturan 10 (Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021).

Sebelum ini, rakaman video yang tular itu mendapati sekumpulan penunggang motosikal berarak dengan membawa bendera Palestin bersaiz gergasi.

Artikel Berkaitan:

Selain menunggang secara berbahaya, ada di antara mereka tidak memakai topi keledar.

-ends-