Perniagaan tidak boleh bertahan jika PKP penuh: Eurocham Malaysia

gambar hiasan
gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (EuroCham Malaysia) meminta kerajaan Malaysia agar tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya memandangkan masih banyak perniagaan yang baharu pulih daripada PKP yang pertama.

Pengerusinya, Oliver Roche berkata, meskipun menyokong pelaksanaan PKP secara penuh, namun pihaknya berpendapat pelaksanaan tersebut mungkin menghalang pemulihan ekonomi Malaysia dan mempengaruhi kelestarian sosial.

Menurut beliau, ketika ini banyak perniagaan sedang menyusun semula strategi dan pulih daripada kesan PKP pada tahun lalu di mana banyak cabaran dihadapi mereka terutamanya melibatkan kewangan yang besar, cabaran logistik dan gangguan rantaian bekalan.

“Banyak perniagaan termasuk komuniti perniagaan Eropah di Malaysia telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan serta mengambil langkah-langkah yang lebih ketat untuk memastikan kesihatan dan keselamatan pekerja walaupun mengalami kerugian.

“Data yang dikeluarkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC) baru-baru ini oleh mendapati bahawa jumlahnya berkurang dari lebih 200 kluster yang berjumlah 28,524 kes dalam sektor pembuatan pada awal Januari kepada hanya 31 kluster pada Mei 2021 dengan 1.598 kes dan penurunan hampir 95 peratus.

“Pada pendapat kami, lebih baik kerajaan menyediakan SOP yang lebih ketat kepada industri terlibat berbanding pelaksanaan PKP penuh di mana pendekatan ini akan mengurangkan jangkitan Covid-19 dalam masyarakat dan membolehkan perniagaan terus membangun," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Eurocham Malaysia berkata, sekiranya terpaksa dilakukan PKP sepenuhnya ia harus disasarkan hanya kepada zon merah tertentu dan harus fokus pada jangkitan masyarakat.

“Pendekatan ini harus disertai dengan keupayaan melakukan ujian saringan Covid-19 berskala besar, vaksinasi dan program sokongan kewangan yang komprehensif.

Artikel Berkaitan:

"Jika kerajaan berdepan masalah untuk memberi bantuan kewangan, kami khuatir ia akan memberi kesan yang besar dan berpanjangan terhadap ekonomi Malaysia serta kemampuannya untuk menarik pelaburan langsung asing,” katanya.

Sebelum ini pada Isnin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mempertimbangkan pelaksanaan PKP penuh di Selangor, sekiranya jumlah kes terus meningkat.