Donald Trump disiasat lagi

Menara pencakar langit, Trump Tower di Manhattan, New York yang menempatkan ibu pejabat Trump Organization. Gambar kecil: Donald Trump. - Foto: Agensi
Menara pencakar langit, Trump Tower di Manhattan, New York yang menempatkan ibu pejabat Trump Organization. Gambar kecil: Donald Trump. - Foto: Agensi
A
A
A

NEW YORK - Pejabat Peguam Negara New York pada Selasa memaklumkan ia kini melancarkan siasatan jenayah terhadap syarikat Presiden ke-44 Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang tidak pernah lekang dengan kontroversi dan mencipta sejarah tersendiri apabila berdepan usul pemecatan sebanyak dua kali.

Di bawah siasatan jenayah ketiga ke atas bekas Presiden itu, Letitia James dikatakan mahu menyiasat sama ada Trump Organization melaporkan secara palsu nilai hartanah untuk mendapatkan pinjaman dan memperoleh faedah cukai serta ekonomi.

Pengumuman itu merupakan siasatan jenayah terbaharu yang bakal dihadapi bilionair hartanah tersebut kira-kira empat bulan selepas beliau meninggalkan Rumah Putih.

“Kami sudah maklumkan kepada Trump Organization bahawa siasatan ini bukan lagi bersifat sivil dan akan dilakukan bersama Peguam Daerah Manhattan,” kata jurucakap pejabat Peguam Negara itu, Fabien Levy.

Trump dalam satu kenyataan bagaimanapun mendakwa siasatan yang akan dipantau James sebagai bermotifkan politik memandangkan beliau pernah menyiasat sama ada organisasi itu sengaja menaikkan nilai beberapa hartanah untuk mendapatkan pinjaman lebih baik dan menaikkan nilainya bagi mendapatkan potongan cukai hartanah.

Secara berasingan, Peguam Daerah Manhattan, Cyrus Vance juga telah melancarkan siasatan ke atas urusan perniagaan bintang realiti TV itu selama lebih dua tahun.

Pejabat Vance menyatakan mereka sedang menyiasat kemungkinan perlakuan jenayah secara meluas di organisasi terbabit termasuk penipuan cukai dan insurans serta pemalsuan rekod perniagaan.

Siasatan Vance bermula selepas Michael Cohen yang merupakan bekas peguam Trump cuba memberikan wang kepada dua wanita yang didakwa terlibat hubungan seksual dengan bekas Presiden AS itu sebagai cubaan untuk menutup mulut mereka.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, James mula membuka siasatan selepas Cohen yang mengaku bersalah melakukan kempen pelanggaran kewangan pada 2018 memberi keterangan di Kongres yang mendedahkan kenyataan kewangan Trump dimanipulasi untuk menjimatkan wang pinjaman atau mengurangkan cukai hartanahnya.

Pada Februari lalu, pendakwa raya di daerah Fulton, Georgia juga melancarkan siasatan ke atas cubaan Trump untuk mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Presiden AS 2020 setelah bekas pemimpin itu bertindak mendesak Setiausaha Negeri Georgia untuk membatalkan keputusan undian tersebut yang didakwa dicemari penipuan. - AFP