MFL putuskan 'home based training' tidak lagi diguna pakai

Ab Ghani Hassan
Ab Ghani Hassan
A
A
A

SUSULAN penularan wabak COVID-19 yang semakin serius ketika ini, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memutuskan kaedah ‘Home Based Training’ tidak lagi diguna pakai untuk pasukan yang berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dalam kenyataan pada Rabu, memaklumkan langkah itu dilaksanakan dalam usaha memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang penganjuran Liga Malaysia (Liga-M) 2021.

Ab Ghani sebaliknya menegaskan bahawa mereka dikehendaki mematuhi ‘Camp Based Training’ sahaja sepanjang PKP berkuat kuasa selepas mesyuarat bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) semalam.

Menurutnya, gelembung sukan yang diamalkan oleh pasukan Liga-M sejak 15 Feb lepas akan ‘pecah’ sekiranya pasukan yang berada dalam PKP dibenarkan menjalani latihan secara ‘Home Based Training’.

“Justeru, pasukan yang berada di dalam kawasan PKP hanya dibenarkan menjalani sesi latihan secara Camp Based Training sahaja buat masa ini dan mereka tidak dibenarkan mengguna pakai kaedah ‘Home Based Training’.

“Camp Based Training’ boleh bermula pada bila-bila masa sebaik pasukan telah memohon kepada MFL dan MFL akan memaklumkan permohonan pasukan kepada KBS,” katanya.

Ab Ghani juga memaklumkan perkembangan pasukan di Sabah, Sarawak dan Kedah dengan Sabah berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dan Sabah FC dibenarkan menjalani latihan secara ‘Home Based Training’.

Bagaimanapun, Sarawak United FC dan Sarawak FC perlu menjalani sesi latihan secara ‘Camp Based Training’ selepas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak tidak membenarkan sebarang aktiviti sukan diadakan biarpun berstatus PKPB.

Artikel Berkaitan:

“Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pula perlu keluar dari kawasan Kota Setar yang masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan menjalani sesi latihan secara ‘Camp Based Training’ di kawasan PKP atau PKPB,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata pindaan jadual perlawanan Liga-M sebaik kembali berlangsung pada Jun dan Julai depan tidak dapat dielakkan apabila Johor Darul Ta’zim (JDT) akan bermain dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Thailand serta KDA FC dan Terengganu FC (TFC) akan beraksi dalam kempen Piala AFC di Singapura, yang mewajibkan mereka menjalani kuarantin selama 14 hari sebaik pulang ke tanah air.

“Selain itu, pasukan kebangsaan yang pulang dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas bermain dalam kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 turut menjalani kuarantin selama 14 hari juga antara salah satu faktor jadual Liga-M dipinda,” katanya.

Beliau juga mengesahkan pasukan Liga-M yang telah berada dalam gelembung ‘Camp Base Training’ dibenarkan menganjurkan perlawanan persahabatan tanpa penonton selepas mendapatkan surat kebenaran daripada polis di negeri masing-masing. - Bernama