Negara paling tinggi peratusan vaksin bergelut peningkatan kes

Gambar fail menunjukkan seorang wanita menerima suntikan vaksin Covid-19 di sebuah hospital di Victoria, Seychelles. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan seorang wanita menerima suntikan vaksin Covid-19 di sebuah hospital di Victoria, Seychelles. - Foto AFP
A
A
A

VICTORIA - Sekolah-sekolah di Seychelles yang terletak di Lautan Hindi terpaksa ditutup manakala pergerakan di luar rumah terpaksa disekat sejak awal bulan ini ekoran peningkatan pandemik Covid-19.

Peningkatan kes itu berlaku walaupun negara berkenaan telah melakukan suntikan vaksin terhadap lebih 60 peratus daripada hampir 100,000 penduduknya bagi menghalang penularan pandemik tersebut.

Berdasarkan statistik tersebut, Seychelles menjadi antara negara yang berjaya mencapai peratusan paling tinggi penduduk mendapat suntikan vaksin Covid-19.

Menurut portal berita BBC, hampir 500 kes baharu dilaporkan berlaku dalam tempoh tiga hari sehingga 1 Mei lalu dan ia mempunyai lebih 2,000 kes aktif Covid-19 pada Khamis lalu.

Satu pertiga daripada kes aktif itu melibatkan penduduk yang telah disuntik dengan dua dos vaksin antiCovid-19, lapor agensi berita negara tersebut.

Bagaimanapun, menurut pegawai Kementerian Kesihatan negara itu, dua pertiga yang didapati positif dalam kes tersebut masih belum memperoleh vaksin sepenuhnya Covid-19.

Lebih 60 peratus penduduknya telah divaksinkan dengan dua suntikan vaksin Covid-19.

Penduduknya divaksinkan dengan vaksin Covid-19 daripada jenis Sinopharm, China atau AstaraZeneca keluaran syarikat ubat-ubatan Britain dan Sweden selain vaksin Covishield.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 57 peratus penduduknya menerima vaksin Sinopharm yang berumur 18 tahun hingga 60 tahun manakala 43 peratus lagi disuntik dengan dos Covishield kepada mereka yang berumur lebih 60 tahun.

Menurut laporan, sebanyak 37 peratus kes-kes baharu jangkitan Covid-19 sehingga 8 Mei lalu adalah terdiri daripada mereka yang telah menerima dua suntikan vaksin Covid-19.

Berdasarkan portal statistik Covid-19 iaitu worldometer sehingga petang Rabu, seramai 9,764 penduduk negara itu sudah dijangkiti dengan Covid-19 dan 35 orang telah meninggal dunia.

Bagaimanapun, kebanyakan negara lain yang telah melakukan vaksinasi lebih peratus penduduk mereka menyaksikan penurunan kes ketara.

Di United Kingdom, di mana 52 peratus orang mempunyai dos pertama, kes turun 96 peratus daripada paras tertinggi pada bulan Januari sementara di Israel, yang telah memvaksin 60 peratus penduduknya dengan satu dos, kes menurun 99 peratus. - Agensi