Dikompaun RM4,000 anjur majlis kahwin

Ayob Khan
Ayob Khan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebuah keluarga yang mengadakan majlis kenduri kahwin di Iskandar Puteri pada Hari Raya Aidilfitri kedua dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM4,000.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, perbuatan itu didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut beliau, polis menerima aduan daripada orang awam berhubung majlis kenduri kahwin yang diadakan pada jam 5.30 petang itu.

"Susulan laporan yang diterima pada jam 8 malam itu, polis melakukan pemeriksaan ke lokasi majlis diadakan. Bagaimanapun kenduri kahwin itu sudah selesai dan tetamu bersurai.

"Berdasarkan bukti bergambar yang diberikan oleh pengadu, polis mengeluarkan kompaun kepada tuan rumah majlis berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, sebanyak 20 kompaun membabitkan nilai RM42,000 dikeluarkan polis Johor bagi kesalahan melanggar SOP PKP.

Tambahnya, kesemua kompaun itu dikeluarkan pada Jumaat dan Sabtu.

"Mengikut pecahan, sebanyak 14 kompaun dikeluarkan di daerah Batu Pahat, empat kompaun di Kluang dan satu di daerah Johor Bahru Utara (JBU) bagi kesalahan aktiviti ziarah raya.

Artikel Berkaitan:

"Sama ada kompaun terbabit akan dikurangkan atau tidak, bergantung kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Dalam pada itu Ayob Khan meminta masyarakat tidak sewenang-wenangnya melanggar SOP yang ditetapkan kerajaan.

"Siapa ingkar, kita akan ambil tindakan. Nak nasihat, kita dah bagi nasihat. Jadi, saya seru semua masyarakat khususnya di Johor supaya patuhi SOP," katanya.