MPM rancang beri insentif kepada atlet para

Liek Hou bersama jurulatihnya, Datuk Rashid Sidek selepas menjuarai Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Sepanyol pada Ahad.
Liek Hou bersama jurulatihnya, Datuk Rashid Sidek selepas menjuarai Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Sepanyol pada Ahad.
A
A
A

MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) akan mengadakan perbincangan berhubung pemberian insentif susulan kejayaan beberapa atlet para negara pada kejohanan antarabangsa sejak kebelakangan ini.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin berkata, kejayaan kesemua atlet berkenaan nyata sesuatu yang membanggakan dan ada antara mereka yang telah pun mengesahkan slot ke Sukan Paralimpik Tokyo yang dijadualkan berlangsung mulai 24 Ogos hingga 5 September depan.

Megat D Shahriman
Megat D Shahriman

Bagaimanapun, Megat D Shahriman berkata, pihaknya tidak dapat mendedahkan lebih lanjut mengenai insentif yang bakal diberikan sama ada dalam bentuk kewangan atau hadiah.

“Kita memang merancang untuk berikan insentif kepada atlet-atlet para ini yang telah mencapai kejayaan pada kejohanan sukan di luar negara.

“Tapi kita tak boleh umumkan sekarang cuma yang pasti insentif itu ada buat mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada Ahad, pemain badminton para negara, Cheah Liek Hou mencatat sejarah tersendiri apabila muncul juara Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Sepanyol setelah menewaskan wakil Jepun, Taiyo Imai 21-13, 21-1.

April lalu Liek Hou yang beraksi dalam kategori SU5 (kecacatan anggota bahagian atas) turut muncul juara Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Fazza-Dubai apabila menewaskan pemain Indonesia Dheva Anrimusthi 14-21, 22-20, 21-18 selain Muhammad Ikhwan Ramli (kategori WH1, kerusi roda) dan Noor Azwan Noorlan (kategori WH2, kerusi roda) muncul juara bagi perseorangan lelaki.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, tiga atlet powerlifting - Bonnie Bunyau Gustin, Bibiana Ahmad dan Nicodemus Manggoi Moses turut cemerlang apabila merangkul pingat emas pada Kejohanan Angkat Berat Para Dunia 2021 di Bangkok, Thailand baru-baru ini.

Ketika mengulas mengenai persiapan atlet para bagi menghadapi Sukan Paralimpik 2020, Megat D Shahriman berkata, kesemua atlet para khususnya yang tidak terlibat dengan mana-mana kejohanan meneruskan latihan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

“Atlet kita teruskan latihan di MSN dan yang mana ada pertandingan, mereka akan pergi sertai pertandingan. Lagi pun dah tak banyak pertandingan di luar sekarang dan kalau ada pun tujuan kita hantar mereka bukan lagi untuk pendedahan, tetapi untuk menang,” ujarnya.