Empat individu dikompaun RM5,000 seorang akibat cuba rentas daerah

IPD Pasir Mas telah mengadakan pemeriksaan mengejut di Jambatan Sultan Ismail Petra, Tendong untuk mengesan aktiviti rentas daerah tanpa surat kebenaran sah dari polis.
IPD Pasir Mas telah mengadakan pemeriksaan mengejut di Jambatan Sultan Ismail Petra, Tendong untuk mengesan aktiviti rentas daerah tanpa surat kebenaran sah dari polis.
A
A
A

PASIR MAS - Empat individu dikompaun RM5,000 setiap seorang akibat cuba merentas daerah secara haram pada Ahad.

Kesemua individu itu diberikan notis kompaun tersebut semasa melalui pemeriksaan mengejut yang dilakukan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di Jambatan Sultan Ismail Petra, Tendong di sini.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, kesemua individu itu dikesan cuba merentas daerah tanpa surat kebenaran sah daripada polis.

"Tindakan itu jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang melarang aktiviti rentas daerah dilakukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasakan di seluruh Kelantan ketika ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Menurutnya, kesemua individu yang diberi dikompaun itu dari luar Pasir Mas berpandukan kepada alamat tertera pada kad pengenalan masing-masing.

Beliau berkata, dalam operasi bermula jam 11 pagi hingga 2 petang itu sebanyak 200 kenderaan pelbagai jenis diperiksa melibatkan 231 orang.

Mohd Nasaruddin berkata, sebanyak lapan buah kenderaan diarah berpatah balik kerana tidak mempunyai surat kebenaran rentas daerah.

Katanya, kesemua individu diarah berpatah balik itu adalah penduduk yang beralamat di daerah ini.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 20 saman berkaitan kesalahan trafik dikeluarkan polis sepanjang tempoh tersebut," katanya.

Tambah Mohd Nasaruddin, seorang remaja berusia 18 tahun yang cuba bertindak melarikan diri daripada pemeriksaan mengejut itu berjaya ditahan polis.

Beliau berkata, bagaimanapun suspek berjaya ditahan selepas terbabas sendiri di dalam semak dekat Jalan Kampung Kubang Sepat di sini.

"Hasil pemeriksaan lanjut terhadap motosikal jenis Yahama 125 ZR mendapati nombor pendaftaran tidak sama dengan nombor chasis. Remaja itu bersama motosikal dibawa ke Balai Trafik Pasir Mas untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, semasa melakukan pemeriksaan mengejut itu, anggota polis melihat seorang penunggang motosikal telah berpatah balik dengan melawan arus.

"Bukan itu sahaja, penunggang motosikal itu telah melanggar kaki kanan seorang anggota yang cuba menahannya. Anggota bertugas kemudian mengekori suspek," katanya.