Sasaran 1 juta rumah mampu milik realistik

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sasaran kerajaan untuk membina satu juta rumah mampu milik dan kos rendah dalam masa 10 tahun adalah realistik dan bukan sekadar janji populis.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan PH komited untuk merealisasikan sasaran berkenaan yang gagal dilaksana oleh kerajaan terdahulu.

"Saya tak tahu (Parti) Gerakan, saya rasa mereka pernah jadi sebahagian daripada kerajaan selama 60 tahun. Jika dalam masa 60 tahun mereka tidak boleh melakukannya, mereka tidak boleh mengatakan yang kami (PH) tidak berupaya melakukannya," katanya selepas menutup 'Malaysia Urban Forum 2019' di sini, hari ini.

Presiden Gerakan Dr Dominic Lau, semalam dilaporkan berkata pengumuman kerajaan akan membina sejuta unit rumah mampu milik dan rumah kos rendah dalam tempoh 10 tahun adalah satu lagi pembohongan serta janji populis PH untuk kekal berkuasa.

Sementara itu, Zuraida berkata KPKT telah membentangkan cadangan lokasi di seluruh negara untuk membina 100,000 rumah mampu milik dan kos rendah bagi tahun ini dalam mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Bagi tahun ini semuanya sudah ada, ada cadangan di beberapa negeri termasuk Pahang dan Pulau Pinang.

“Ini termasuk beberapa pembangunan di kawasan bandar, pembangunan berkelompok kawasan yang ada infrastruktur yang kukuh, sistem pengangkutan yang baik, tanah-tanah ini akan digunakan (bina rumah), " katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: