X

Kindly register in order to view this article
!

Datang awal 'cuba nasib' punca PPV WTCKL sesak

Penerima vaksin mula beratur menunggu giliran seawal jam 9 pagi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bagi menerima suntikan vaksin jenis AstraZeneca pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang dibuka semula pada Sabtu mengalami kesesakan kerana ramai penerima vaksin Covid-19 tiba lebih awal daripada slot masa yang ditetapkan kepada mereka.

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) berkata, kesesakan berlaku apabila PPV kembali beroperasi selepas cuti hari raya Aidilfitri dan didapati terdapat individu dengan janji temu yang sepatutnya pada jam 6 petang namun mereka telah tiba seawal jam 2 petang.

“Ramai individu yang tidak mempunyai janji temu mencuba nasib untuk mendapatkan vaksin secara ‘walk-in’ yang turut menambah kesesakan sedia ada,” katanya CITF dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Sabtu, PPV memulakan proses vaksinasi secara besar-besaran dengan jumlah janji temu sebanyak 8,100 untuk tempoh masa 9 pagi sehingga 9 malam.

Sebagai langkah berjaga-jaga dalam aspek keselamatan dan keselesaan semua pihak di samping mengekang penularan Covid-19, CITF memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi beberapa perkara.

CITF meminta penerima vaksin untuk tidak datang terlalu awal daripada slot masa janji temu yang ditentukan.

“Hanya tiba di PPV antara 15 sehingga 30 minit awal dari masa yang ditetapkan.

“Orang ramai diminta untuk tidak hadir awal lebih 30 minit dari janji temu untuk mengelakkan kesesakan,” katanya.

CITF meminta penerima vaksin mengikut arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa serta petugas dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Mohon bersabar dan sentiasa amalkan penjarakan fizikal serta memakai pelitup muka sepanjang proses vaksinasi.

“Penerima vaksin perlu beredar daripada perkarangan WTCKL sejurus selepas menerima vaksin dan elakkan berada di kawasan PPV terutamanya di kawasan lobi bagi mengelakkan kesesakan,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!