Sempat tatap wajah anak sebelum 'pergi'

Ahli keluarga memangku jenazah mangsa untuk dibawa pulang ke Tambun. Gambar kecil: Izz Auf. - Foto pembaca
Ahli keluarga memangku jenazah mangsa untuk dibawa pulang ke Tambun. Gambar kecil: Izz Auf. - Foto pembaca
A
A
A

IPOH - Ibu bapa kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang lemas ketika mandi di Sungai Ulu Piah, Tambun di sini reda atas pemergian anak bongsu mereka itu.

Noor Fadzlinda Mohd Yusoff, 36, berkata, dia sempat menatap wajah Izz Auf Mohd Ghazali yang ketika itu menerima rawatan di wad kecemasan, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sebelum kanak-kanak itu menghembuskan nafas terakhir di sisinya.

"Ketika di hospital keadaan dia agak lemah tetapi memberikan respon dengan menarik nafas setiap kali namanya dipanggil.

"Setiap saat saya berada dengannya ketika pasukan perubatan berusaha memberi bantuan pernafasan untuk menyelamatkannya," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HRPB di sini pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN:Budak lemas dihanyutkan arus deras ketika berkelah

Menurutnya, arwah yang mesra dipanggil Auf disifatkan sebagai anak yang manja dan menyenangkan tanpa banyak karenah.

"Masih terbayang keletahnya yang sentiasa gembira menceriakan kami. Dia sangat manja dengan dua abang serta kakaknya berusia sembilan tahun.

"Sebelum kejadian, saya sudah berasa tidak sedap hati malah nak buat kerja rumah pun tidak tenteram hinggalah adik beritahu kejadian ini, " katanya.

Sementara itu, bapa kanak-kanak tersebut, Mohd Ghazali Mohd Yazid, 49, terkilan kerana tidak sempat beraya dengan arwah yang tinggal bersama neneknya di Taman Tambun berhampiran.

Artikel Berkaitan:

"Kali terakhir jumpa Rabu lalu selepas dijemput oleh neneknya untuk beraya bersama. Auf yang gembira sempat melambai ke arah kami.

"Sejak itu saya tidak berkesempatan untuk berjumpa. Hiba sungguh tidak dapat beraya bersama, apabila balik kerja tiba-tiba dikhabarkan sudah meninggal dunia," katanya yang bekerja sebagai buruh di sebuah kedai barang lusuh.

Katanya, jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun.

Sinar Harian melaporkan mangsa ditemukan tidak sedarkan diri selepas dihanyutkan arus deras ketika berkelah bersama nenek, bapa saudara dan dua abangnya berusia lima dan 12 tahun.

Mangsa disahkan meninggal dunia selepas lebih sejam bertarung nyawa di HRPB.