Buruh mengaku salah simbah cecair busuk di masjid, ambil dadah

PASIR MAS – Seorang buruh kasar mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan melakukan khianat dengan menyimbah cecair berbau busuk pada karpet sebuah masjid di Tumpat.
Tertuduh, Manjesh Singh Shukdev Singh, 38, turut mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah.
ARTIKEL BERKAITAN: Masjid dicurah air busuk: Kerajaan Kelantan mahu pelaku segera diburu
Karpet masjid dicurah air selut busuk bercampur serpihan tulang, bulu
Tertuduh didakwa di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memecahkan cermin masjid dan merosakkan karpet dengan menyimbah cecair berbau busuk serta mengetahui perbuatan itu akan dianggap sebagai suatu keaiban kepada agama Islam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Masjid Al-Aziz Al-Hadi, Kota SPP Warisan pada jam 4.35 pagi, 5 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menceroboh masuk ke masjid berkenaan dengan niat melakukan suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang pada masa dan tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 23 November depan untuk menjatuhkan hukuman bagi kedua-dua pertuduhan itu dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 sementara menunggu tarikh berkenaan.
Bagi pertuduhan ketiga, lelaki terbabit didakwa mengambil dadah jenis metamfetamina di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Tumpat pada jam 1 pagi, 17 Oktober lalu.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dan menetapkan 20 Januari tahun depan untuk laporan kimia.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Zharifah Insyirah Zahari, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Noor Suhadah Mohamed Ripim.
Sebelum ini, akhbar melaporkan perbuatan khianat yang dirakam kamera litar tertutup itu menyebabkan karpet masjid terpaksa dibersihkan dan disertu.
Bagaimanapun, karpet berkenaan masih mengeluarkan bau busuk dan terpaksa diganti baharu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

