X

Kindly register in order to view this article
!

Budak lemas dihanyutkan arus deras ketika berkelah

Lokasi mangsa ditemukan tidak sedarkan diri selepas dihanyutkan arus deras. Foto: Ihsan bomba
A
A

TAMBUN - Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemukan tidak sedarkan diri selepas dihanyutkan arus deras ketika berkelah bersama keluarga di Sungai Ulu Piah, di sini pada Sabtu.

Kanak-kanak itu, Izz Auf Ghazali bagaimanapun disahkan meninggal dunia selepas lebih sejam menerima rawatan di Wad Kecemasan, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abd Aziz berkata, siasatan mendapati mangsa bersama nenek, bapa saudara dan dua abangnya tiba di lokasi kejadian untuk berkelah kira-kira jam 10 pagi.

"Semasa mereka sedang mandi, tiba-tiba mangsa dikatakan menjerit meminta tolong dan bapa saudara cuba untuk menyelamatkannya tetapi mangsa dihanyutkan arus sungai yang deras sebelum hilang dari pandangan.

"Bapa saudara mangsa menjerit meminta pertolongan dan secara kebetulan seorang lelaki berusia 25 tahun yang sedang berbasikal telah menjumpai mangsa kira-kira 1.5 kilometer dari tempat kejadian," katanya.

Menurutnya, mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dibawa ke tebing sungai.

"Pihak ambulans yang tiba membuat pemeriksaan mendapati mangsa masih ada nadi dan segera membawanya ke hospital untuk rawatan lanjut pada jam 11.40 pagi.

"Mangsa yang menerima rawatan bantuan pernafasan (CPR) kemudian disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.55 tengah hari di wad berkenaan," katanya.

A Asmadi berkata, mayat dibawa ke Jabatan Forensik untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!