X

Kindly register in order to view this article
!

KBS nafi beri kelulusan pemain Israel sertai Terbuka Malaysia

Reezal Merican
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menafikan dakwaan pemain Israel telah diberi kebenaran menyertai Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia seperti yang tular di media sosial hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pihak KBS tidak pernah dan tidak akan memberi sebarang kelulusan penyertaan warganegara Israel ke dalam sebarang kejohanan sukan termasuklah Kejohanan Badminton Malaysia Open 2021 yang telah pun ditangguhkan.

“Pihak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) juga sedia maklum mengenai perkara ini dan ia telah pun disampaikan kepada pihak Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

“Ia ia merupakan syarat yang telah lama terpakai selari dengan dasar luar negara.

“Saya juga sentiasa mengingatkan bahawa semua kelulusan penganjuran kejohanan sukan antarabangsa oleh KBS melalui Pesuruhjaya Sukan adalah tertakluk kepada dasar luar negara, ini termasuklah larangan penyertaan atau penglibatan dari negara Israel tanpa sebarang kompromi” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Reezal Merican berkata demikian bagi mengulas dakwaan berhubung penyertaan pasangan beregu campuran Israel Misha Zilberman / Svetlana Zilberman yang dikatakan bakal beraksi pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil mulai 25 hingga 30 Mei 2021 ini.

Penyertaan pasangan anak beranak itu pada berkenaan yang tular di media sosial telah menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat di negara ini

Kejohanan berkenaan juga telah dipinda ke tarikh lain ekoran pandemik Covid-19.

Sementara itu, pihak BAM turut menjelaskan bahawa jadual perlawanan ‘draw’ yang telah dikeluarkan oleh pihak BWF tidak pernah diluluskan oleh pihak BAM mahupun KBS untuk tujuan kemasukan pasangan beregu campuran berkenaan negara ini.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!