X

Kindly register in order to view this article
!

Lima lelaki naik satu kereta kena kompaun RM10,000

Lima lelaki yang dikompaun selepas menaiki kereta jenis Proton Wira melebihi had dibenarkan pada pada Jumaat. - Foto IPD KOTA SETAR.
A
A

ALOR SETAR - Lima lelaki dikompaun RM10,000 keseluruhannya selepas didapati menaiki kenderaan persendirian melebihi had tiga orang dibenarkan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Jalan Alor Mengkudu, Alor Setar pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, mereka yang menaiki kereta jenis Proton Wira tersebut masing-masing dikompaun RM2,000 setiap seorang.

Menurutnya, kesalahan yang dilakukan itu dikesan oleh pasukan pemantau OP Covid-19 Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar pada jam 4 petang semasa membuat rondaan di kawasan berkenaan.

"Kesemua lelaki berusia 19 hingga 23 tahun tersebut yang menaiki kereta itu telah diminta berhenti di tepi jalan oleh pasukan pemantau.

"Pemeriksaan mendapati semua penama telah didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP iaitu menaiki kenderaan persendirian melebihi tiga individu semasa tempoh PKP," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Ahmad Shukri berkata, kompaun telah dikeluarkan ke atas semua penumpang termasuk pemandu atas kesalahan Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021.

Pada 10 Mei, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kerajaan mengehadkan hanya tiga orang sahaja boleh berada dalam satu kereta termasuk pemandunya bermula 12 Mei hingga 7 Jun bagi tempoh pelaksanaan PKP 3.0.

Bagaimanapun, bilangan orang yang dibenarkan di dalam kenderaan membawa barangan ekonomi bergantung kepada jumlah yang dibenarkan dalam lesen pendaftaran kenderaan perdagangan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!