Isu Palestin: Malaysia sokong 'Penyelesaian Dua Negara'

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Malaysia menyokong penyelesaian yang adil dan saksama melalui Penyelesaian Dua Negara atau Two-State Solution berdasarkan garis sempadan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin sebagai satu-satunya jalan penyelesaian terhadap konflik Palestin-Israel.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia akan terus menyokong segala usaha demi mencapai penyelesaian adil dan berkekalan, khususnya menerusi rundingan melibatkan pihak-pihak berkaitan berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa serta resolusi-resolusi PBB yang berkaitan.

"Malaysia akan terus memberikan sumbangan secara dua hala kepada Palestin selain sumbangan kepada badan-badan antarabangsa," katanya dalam perutusan khas disiarkan secara langsung di laman Facebook Perdana Menteri pada Sabtu.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) seliaan Kementerian Luar Negeri, Malaysia telah menyumbang sebanyak AS$10,000 kepada Masjid Al-Aqsa pada tahun 2020 dan sumbangan tersebut telah disalurkan kepada Kementerian Awqaf, Jordan.

Selain itu, beliau berkata, bagi membantu kerajaan Palestin membendung wabak pandemik Covid-19, kerajaan Malaysia turut menghulurkan bantuan kepada Palestin dalam bentuk barangan perubatan, iaitu 1 juta pelitup muka, 500,000 pelindung muka (face shields) dan 500,000 sarung tangan getah.

"Sumbangan tersebut telah dihantar menerusi pesawat sewaan khas ke Amman, Jordan pada 10 Mei 2020," katanya.

Perdana Menteri memaklumkan, bagi tahun 2020 juga Malaysia telah menyumbang sebanyak AS$120,000 kepada United Nations Relief and Works Agency in the Near East (UNRWA) bagi menampung kos operasi dan programnya bagi tahun tersebut.

Menurutnya, Malaysia telah memberikan sokongan yang padu serta sumbangan kepada UNRWA secara konsisten sejak tahun 1978 dan sejak tahun 2015, Malaysia telah menyumbang sebanyak AS$600,000 kepada UNRWA.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan keprihatinan badan-badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia serta rakyat Malaysia yang sentiasa membantu rakyat Palestin," katanya.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia agar memberikan sumbangan kepada rakyat Palestin menerusi tabung-tabung sah yang diwujudkan untuk tujuan tersebut dan segala usaha dan sumbangan semua amatlah bermakna bagi rakyat Palestin.

"Marilah kita semua mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin yang kini sedang ditindas dan dizalimi oleh rejim Israel.

"Semoga rakyat Palestin akan mendapat perlindungan daripada kezaliman rejim Israel dan pencerobohan haram Israel ke atas bumi Palestin segera berakhir," katanya.