Beberapa faktor perlu diambil kira

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ditemui pemberita selepas ketika menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina peringkat kementerian hari ini.
Turut sama timbalannya Dr Lee Boon Chye. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan perlu mengambil kira beberapa faktor termasuk keperluan dan kepadatan penduduk sebelum merancang untuk membina hospital di Semenyih, Selangor, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, cadangan calon PH pada PRK DUN Semenyih, Muhammad Aiman Zainali yang mahu sebuah hospital dibina di kawasan itu perlu lebih munasabah.

"Sesiapa sahaja boleh buat janji tetapi kami mengharapkan janji-janji itu lebih munasabah. Membina hospital bukan seperti membina mana-mana premis. Kementerian perlu mengambil perhatian dari segi keperluan serta memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya.

Muhammad Aiman dilaporkan menjadikan pembinaan hospital sebagai agenda utama jika menang PRK itu memandangkan ia merupakan permasalahan paling banyak diutarakan masyarakat setempat.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Tahun Baharu Cina kementeriannya, di sini hari ini, Dzulkefly berkata, Muhammad Aiman boleh mengesyorkan tetapi keputusan kementerian dibuat selepas beberapa syarat yang ditetapkan dipenuhi.

Ditanya sama ada Muhammad Aiman sudah berbincang dengan pihak kementerian berhubung cadangannya, Dzulkefly berkata, calon PH itu belum berbincang dengan beliau atau timbalannya namun bersedia mendengar pandangannya. - Bernama