'Beri sokongan kepada pengadil, bukan kritikan rambang'

No Image Caption
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) berharap barisan pengadil tempatan dapat diberikan ruang dan peluang untuk membuktikan potensi mereka selaras penubuhan badan bebas pengadil, Pegawai Perlawanan Profesional Malaysia (PMOM).

Lebih tepat, MFL menggesa semua pihak memainkan peranan dalam mendukung para pengadil tempatan dengan memberikan pandangan membina dan bukannya mengkritik secara rambang.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Kevin Ramalingam berpendapat kritikan terhadap pengadil tempatan hanya memberikan kesan buruk khususnya dari sudut psikologi terutama selepas ramai pihak mula mempertikaikan mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga-M) sejak ia bermula pada awal bulan ini.

"Dalam minggu-minggu awal Liga-M, ramai yang mengkritik dan apa yang kita dapat lihat momentum itu hadir daripada setiap pasukan yang cukup meneliti setiap keputusan para pengadil. Boleh dikatakan semua pihak menyumbangkan keraguan dan analisis lebih mendalam terhadap persembahan pengadil.

"Kita kena faham bahawa ada di antara mereka ini akan dijadikan sebagai pengadil profesional..jika kita hancurkan keyakinan dan semangat mereka, kemungkinan ia akan memberi kesan pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Justeru, Kevin berharap pemain, pasukan, media dan peminat dapat memberikan input positif kepada pengadil tempatan terutama pengadil muda yang bakal menggalas harapan memperbaiki mutu pengadilan bola sepak negara dalam era profesional.

"Apa yang merisaukan saya adalah dengan apa yang telah berlaku, ada di antara pengadil sukar untuk pulihkan keyakinan mereka disebabkan setiap langkah atau keputusan mereka semuanya menjadi pertikaian oleh semua pihak.

Saya berharap mereka tidak akan sesekali patah semangat dan diberikan peluang untuk membuktikan kebolehan mereka menjadi pengadil profesional jika ditawarkan PMOM nanti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berkaitan, Kevin menegaskan MFL sedang berusaha keras untuk mendapatkan calon terbaik bagi mengisi tugas Pengurus Besar PMOM dalam misi memperbaiki mutu pengadilan negara.

“Pencarian Pengurus Besar PMOM sedang berjalan sebaik yang mungkin, kita tahu dengan situasi sekarang pelantikan itu perlu disegerakan, namun kami perlu mendapatkan calon terbaik agar penubuhan PMOM ini dapat memberi impak yang cepat dan berkesan,” katanya. - Bernama